KUALA LUMPUR: Taktik sindiket penyeludup membawa masuk dadah ke negara ini dengan menyembunyikan sejumlah dadah Ketamin di dalam bingkai gambar dan periuk terbongkar dengan penahanan 10 orang anggota sindiket itu dalam tiga serbuan berasingan semalam.Dalam serbuan kira-kira 7.15 malam di sebuah bangunan kedai di No.47, Jalan Dang Wangi di sini, polis berjaya menahan lapan lelaki dalam lingkungan umur antara 30 dan 40 tahun yang membabitkan dua warga Myanmar, tiga warga India dan tiga rakyat tempatan. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mat berkata hasil pemeriksaan dalam bangunan tersebut, polis menjumpai 59.7 kilogram Ketamin, 400 gram Heroin, 79 biji pil Ecstacy (25 gram), 150 biji pil Eramin 5, 13 gram Ganja dan 19 gram Syabu yang dianggarkan bernilai RM750,000."Hasil siasatan lanjut, polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai anggota sindiket itu masingmasing di tempat letak kereta Kompleks Pertama dan Restoran Star Seafood, Jalan Selayang."Bagaimanapun dalam tangkapan ini tiada rampasan dibuat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen di sini semalam.Beliau berkata sindiket yang didalangi warga India itu bergiat aktif sekitar Lembah Klang dipercayai turut menjalankan kegiatan mereka di Thailand dan Indonesia."Anggota sindiket ini dipercayai bergiat aktif menyeludup Ketamin dari India ke Malaysia menggunakan jalan darat dan udara sejak setahun yang lalu dengan modus operandi yang berbeza untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.Abu Samah berkata dalam serbuan itu polis turut menyita sebuah kereta Nissan Sentra Nismo dengan nombor pendaftaran WQC 972 dan wang tunai sebanyak RM32,000.Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan."Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan saki baki anggota sindiket yang lain," katanya. BERNAMA