suria

Pendakwa diarah dapatkan buku log pelawat Plaza Masalam

SHAH ALAM: Bangunan Plaza Masalam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai sebarang rekod aktiviti keluar masuk sama ada pada waktu pejabat mahupun selepas itu.

Perkara tesebut didedahkan selepas saksi kelima dan keenam inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock memberi keterangan kepada mahkamah hari ini.

Saksi kelima, Wan Rosli Wan Adam, 38, dan saksi keenam, Abdul Rahman Rahim, 51, masing-masing merupakan pengawal keselamatan plaza berkenaan.

Kedua-dua mereka mengakui tiada sebarang catatan dibuat bagi merekod individu yang keluar masuk ke plaza itu walaupun pada waktu malam kerana mengenali mereka serta mengetahui anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertugas 24 jam sehari.

Peguam yang mewakili keluarga Teoh mempersoalkan mengapa tiada catatan dibuat kerana perkara tersebut merupakan sesuatu yang penting.

Abdul Rahman bagaimanapun ketika memberi keterangan berkata, ianya tidak perlu kerana yang bekerja hingga lewat malam hanyalah anggota SPRM.

Katanya, walaupun mengenali dan pernah berbual dengan anggota SPRM, beliau tidak pernah mengambil tahu mengapa mereka bekerja hingga lewat malam dan siapa yang disiasat.

Jawapan yang diberikan itu turut mengundang reaksi Koroner Azmil Muntapha Abas dengan bertanya kepada Abdul Rahman: "Memang syarikat tidak peruntukan untuk catat rekod keluar masuk?"

Abdul Rahman bagaimanapun mengakui ada peruntukan untuk mencatat perkara berkenaan.

Kemudian Azmil bertanya lagi sama ada ada rekod yang dicatatkan pada tarikh 15 dan 16 Julai dan siapa yang bertanggungjawab menyimpan buku berkenaan.

Abdul Rahman berkata: "Biasa kami yang simpan, kami tak catat pada tarikh itu".

Kemudiannya Azmil mempersoalkan sama ada sebab tiada sebarang rekod dibuat pada tarikh tersebut adalah kerana terlalu ramai orang keluar masuk atau pun hanya pada tarikh tersebut ia tidak direkodkan.

Abdul Rahman berkata: "Hari itu sahaja".

Kemudian peguam Tan kelihatan bertanya sesuatu kepada pegawai penyiasat yang dipercayai berhubung perkara berkenaan.

Beliau kemudiannya memberitahu mahkamah: "Menurut pegawai penyiasat buku log berkenaan memang tidak dicatatkan sebarang rekod sejak berbulan-bulan".

Koroner Azmil kemudiannya mengarahkan pihak peguam Tan mengemukakan buku catatan berkenaan kepada mahkamah esok.

Malah beliau juga mengarahkan Abdul Rahman untuk tampil semula pada prosiding esok.

Terdahulu mahkamah diberitahu bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan lobi pejabat Plaza Masalam pada 15 Julai lalu iaitu sehari sebelum Teoh ditemui mati menunjukkan kelibat seorang lelaki Cina yang tidak dikenali berjalan bersama empat anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wan Rosli mengesahkan demikian ketika diminta mengecam gambar yang diambil dari rakaman CCTV diambil antara pukul 1 hingga 2 pagi.

Semasa keterangan diambil, peguam yang dilantik mewakili kerajaan iaitu peguam bela dan peguam cara Tan Hock Chuan menunjukkan 10 keping gambar dari rakaman CCTV.

Bagaimanapun Wan Rosli memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengenali empat lelaki yang bersama dengan lelaki Cina berkenaan.

"Saya tak kenal siapa mereka, tapi saya tahu mereka adalah pegawai SPRM kerana biasa melihat mereka," kata Wan Rosli.

Kemudiannya Tan mengesahkan kepada mahkamah bahawa salah seorang daripada kelibat lelaki berkenaan ialah pegawai yang menemuduga Teoh dan juga ketua operasi unit siasatan SPRM.

Sementara itu Abdul Rahman turut mengesah kelibat beberapa anggota SPRM dalam rakaman CCTV pada hari berkenaan.

Antara yang kelihatan ialah anggota SPRM yang dikenali sebagai 'Ashraf' (orang terakhir melihat Teoh), pegawai yang menemuduga pada hari berkenaan; dan seorang lagi pegawai kanan SPRM Selangor.

"Salah seorang dari mereka itu saya kenal, biasa panggil 'Ashraf'," katanya.

Selepas itu peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh bertanya kepada Abdul Rahman sama ada kehadiran pegawai SPRM sehingga lewat pagi di bangunan berkenaan merupakan sesuatu yang biasa atau sebaliknya.

Abdul Rahman kemudiannya berkata sebelum ini beliau jarang melihat kehadiran pegawai kanan SPRM Selangor itu di situ seawal pagi begitu (antara pukul 4 hingga 8 pagi).

Artikel Berikut

Artikel Lain