suria

Najib sertai masyarakat Sarawak raikan Gawai Dayak esok

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka tiba di Kuching petang esok untuk bersamasama rakyat di Sarawak meraikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Gawai Dayak 2009 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya.

Jurucakap Jabatan Penerangan Sarawak berkata majlis anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia serta kerajaan negeri Sarawak itu dijangka dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Sambutan bertemakan "1Malaysia Segulai Sejalai" (1Malaysia Seiring Sejalan) itu juga akan dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta beberapa menteri Kabinet persekutuan dan negeri selain rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis itu bertujuan menonjol dan membuktikan kepada dunia semangat toleransi serta muhibbah menerusi kesedaran rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat menerima hari kebesaran kaim lain sebagai perayaan bersama.

Beberapa acara dan persembahan kebudayaan yang unik daripada pelbagai suku kaum di Sarawak juga akan dipersembahkan pada majlis berkenaan.

Serentak dengan sambutan itu, satu pameran khas mengenai tradisi, kraftangan dan demonstrasi masakan tradisional Sarawak turut diadakan bermula 12 Jun hingga 14 Jun di Tebingan Kuching di sini.

Perayaan Gawai Dayak diraikan oleh masyarakat Dayak yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai tanda kemenangan serta kesyukuran selepas tamat musim menuai pada awal Jun.

Tahun hadapan sambutan Gawai Dayak dan Tadau Kaamatan dijangka diadakan serentak di Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain