suria

Pemuda menyesal bida harga tambang murah, tersentak dengar kisah hidup pemandu e-hailing - “Acik cari duit kemoterapi anak”

Desakan hidup membuatkan segelintir individu terpaksa bekerja biarpun sudah berusia. -Gambar hiasan AI

BETAPA besarnya kasih serta pengorbanan seorang ibu.

Itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang wanita warga emas berusia 63 tahun yang sanggup bekerja tanpa mengenal erti penat demi menampung kos rawatan perubatan anaknya. 

Kisah wanita tersebut yang mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dikongsikan seorang lelaki di media sosial, sekali gus menyentuh hati warga maya.

"Naik InDrive. Jumpa acik ni. Umur 63 tahun. Masih lagi kerja. Saja tanya... okay ke harini? Dia kata... okay je Alhamdulillah, hari-hari okay. Acik nak cari duit untuk kemoterapi anak. Nak kena bayar.

"Terus tersentak aku. Sedih pun ya. InDrive kan boleh bid harga. Aku bid paling rendah. Ada 20 driver tengok. Dua minit tiada orang ambil, acik ni je ambil," tulisnya dalam satu hantaran di Threads. 

Segelintir individu menjadi pemandu e-hailing separuh masa untuk mencari pendapatan sampingan. -Gambar hiasan

Menurut lelaki berkenaan, selepas mendengar kisah sebenar pemandu wanita itu, perasaannya bercampur baur antara bersalah, sedih dan simpati.

Lebih membuatkan dia tersentuh, pemandu warga emas itu turut memberitahu dia bekerja sehingga lewat malam demi memastikan keperluan rawatan anaknya dapat dipenuhi.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkejar dari kelas ke hospital sampai tak sempat makan, tapi layanan abang Grab memang tak disangka-sangka – “Siap offer kuih pau lagi!”

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik e-hailing bawa isteri teman bekerja, penumpang terkejut dilayan istimewa - “Murahkan rezeki orang baik ini ya Allah”

"Aku mula-mula rasa seronok sebab dapat tambang murah. Tapi lepas acik ni cerita, aku rasa bersalah pula bid harga macam tu.

"Kesian. Tak apalah aku bayar lebih, semoga urusan acik ni dipermudahkan dan anak-anak dia sihat-sihat je. 

"Siapa yang dapat InDrive acik ni, bagilah rating yang baik-baik dan bantu sedikit sebanyak. Cekalnya seorang ibu membesarkan anak-anak," tulisnya lagi.

  • Seorang individu berkongsi kisah pertemuan dengan pemandu e-hailing warga emas yang cekal mencari rezeki.

  • Wanita berusia 63 tahun itu bekerja tanpa mengenal penat demi membiayai rawatan kemoterapi anaknya.

  • Individu berkenaan berasa bersalah selepas mengetahui kisah sebenar di sebalik tambang murah.

  • Perkongsian tersebut menyentuh hati dan menimbulkan rasa simpati dalam kalangan warga maya.

  • Ramai netizen mendoakan kesembuhan anaknya serta mengagumi pengorbanan seorang ibu.

Di ruangan komen, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak serta kagum dengan ketabahan wanita berkenaan. 

Ramai turut mendoakan agar urusan pemandu e-hailing itu dipermudahkan dan anaknya diberikan kesembuhan.

"Ya Allah saya faham kos kimoterapi sangat tinggi sebab dah lalui, anak kimo selama tiga tahun.

"Arwah ibu pun adalah bekas pesakit kanser. Faham sangat kos rawatan kanser mahal sangat-sangat," demikian antara komen netizen.

Artikel Lain