suria

Sanggup bayar mahal demi akhirat, tiba masa tak boleh digunakan... Ini sebab tak perlu beli kain kafan mahal, berjenama

Kit kafan mempunyai tarikh luput dan tidak boleh disimpan lama. -Gambar hiasan

UMAT Islam diingatkan tentang amalan pembelian kit kafan berjenama atau mahal yang mungkin tidak lagi boleh digunakan apabila tiba masanya.

Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official berkata, ramai beranggapan kit kafan boleh disimpan bertahun-tahun sedangkan hakikatnya ia mempunyai tarikh luput.

"Kain kafan, kapas, kapur barus, serbuk cendana, minyak atar, sabun, sarung tangan akan rosak bila sampai masanya.

"Tarikh kematian adalah rahsia Allah. Tetapi membeli kit kafan terlalu awal dan menyimpannya lama boleh menyebabkan ia tidak lagi sesuai digunakan apabila diperlukan,” katanya di Facebook.

Ilmu pengurusan jenazah penting dalam memastikan orang ramai lebih memahami kaedah pengendalian. -Gambar hiasanIlmu pengurusan jenazah penting dalam memastikan orang ramai lebih memahami kaedah pengendalian. -Gambar hiasan

Menurutnya lagi, kain kafan yang disimpan lama berisiko menjadi kekuningan atau berkarat, manakala kapur barus dan serbuk cendana pula boleh hilang fungsi serta berbau hapak apabila melepasi tempoh tertentu.

"Pihak penjual tidak akan memaklumkan perkara tersebut kerana takut rugi. Mereka hanya pentingkan keuntungan dari bersikap jujur.

“Kit kafan bukan barang pelaburan. Ia bukan seperti emas atau barangan bernilai yang boleh disimpan lama tanpa menjejaskan fungsi,” tegasnya.

Kenyataan oleh Mr Wan Cai Official itu dibuat susulan satu komen pembeli wanita yang membeli kit kafan berjenama dan mahal dengan niat menyimpannya untuk kegunaan anak-anak pada masa depan.

"Kalau sarung tangan ada tarikh luput, apatah lagi bahan-bahan lain. Soalan, puan nak ke guna kain kafan yang berkarat dan kapur barus bau busuk pada jenazah puan atau anak-anak nanti?" katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menimba ilmu terlebih dahulu berkaitan pengurusan jenazah, memahami fungsi serta tempoh ketahanan barangan sebelum membuat pembelian.

“Tak perlu beli kit kafan mahal terlalu awal hingga akhirnya tidak boleh digunakan. Yang penting, ilmu, kejujuran dan tidak membazir,” katanya.

 

Artikel Lain