suria

Pelajar Malaysia mati lemas di AS

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di Amerika Syarikat dipercayai mati lemas ketika bercuti di kawasan air terjun Abrams Falls di Taman Negara Great Smokey Mountain, Tennessee Ahad lepas.

Mangsa Nublan Zaki Norhadi, 20, merupakan pelajar tahun satu jurusan Sains Aktuari di Pennsylvania State University.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Mara, Hasni Suleiman berkata pelajar tajaan Mara itu didapati lemas kira-kira 7 malam (waktu tempatan) dan ditemui oleh pihak renjer taman negara berkenaan kira-kira 1 petang (waktu tempatan) keesokan harinya.

"Ketika kejadian, Nublan Zaki bersama lebih kurang 30 pelajar daripada universiti yang sama sedang menghabiskan masa cuti mereka selepas tamat peperiksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata Mara telah memaklumkan kepada keluarga mangsa tentang kejadian itu dan urusan penyempurnaan jenazahnya telah dikendalikan oleh Pejabat Mara di Washington serta dibantu oleh Jabatan Penuntut Malaysia, Kedutaan Malaysia, para pelajar Malaysia dan penduduk Muslim tempatan.

Jenazah Nublan Zaki dibawa pulang semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira 7.15 pagi esok.

Mangsa berasal dari Kampung Matang Pagar, Sungai Buluh, Selangor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain