suria

Warga India seludup ketamin dalam bingkai gambar

ALOR SETAR Bermacam-macam cara digunakan untuk menyeludup dadah ketamin ke negara ini termasuk periuk tandori, tetapi kali ini bingkai gambar pula digunakan.

Enam hari lepas, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menemui 14 bungkusan serbuk dipercayai ketamin seberat 7.5 kilogram di dalam bingkai gambar milik seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini.

Dadah itu dianggarkan bernilai kirakira RM135,000 dipercayai untuk diedarkan di sini.

"Bingkai gambar itu diisi bersama kain sari dan kain pelekat di dalam beg miliknya semasa dia transit di LTSAH," kata Penolong Ketua Pengarah bahagian Penguatkuasaan KDRM, Datuk Md Hassim Pardi.

Lelaki berumur 47 tahun itu berlepas ke LTSAH dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas tiba dari India, kata beliau.

"Dia ditahan dan diperiksa apabila berkelakuan mencurigakan," katanya.

Lelaki itu kini ditahan reman sehingga esok sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar.

Md Hassim berkata dalam tempoh lima bulan lepas, KDRM telah menahan tiga lelaki warganegara India dan seorang warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM2 juta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain