suria

Sahabat gesa kekebalan Raja-raja dikembalikan

PRESIDEN yang juga Pengasas Pertubuhan Warisan Persahabatan Malaysia, Syed Hussain Syed Mansur Al-Shahab (tengah) bersama anggota-anggotanya mengangkat tangan tanda ikrar taat setia kepada raja pada majlis menjunjung kasih dan sumpah taat setia kepada Raja-raja Melayu di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini. Seramai 200 anggota Sahabat lengkap berpakaian baju hitam, bertanjak atau bersongkok dan berkeris berbaris di dalam kawasan berpagar dewan berkenaan. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Warisan Persahabatan Malaysia (Sahabat), yang mempunyai 11,000 anggota, hari ini menyeru semua pihak khususnya orang Melayu supaya mengembalikan semula kekebalan Raja-raja Melayu sekiranya mahu melihat mereka memainkan peranan yang lebih penting dan berkesan.

Presiden dan pengasas Sahabat, Syed Hussain Syed Mansur AlShahab berkata, jika kekebalan itu tidak dikembalikan, maka suatu hari nanti akan ada perkara yang lebih dahsyat akan berlaku seperti pergolakan politik di Perak iaitu perbuatan menghina, menderhaka dan cubaan meruntuhkan kedudukan Raja-raja Melayu. "Jadi saya menyeru orang Melayu bangun untuk menunjuk komitmen dan kesetiaan kita kepada Raja-raja kita.

"Selagi ada raja Melayu selagi itu ada orang Melayu, kalau hilang Raja Melayu hilanglah orang Melayu.

"Orang Melayu dengan Raja-raja tidak boleh dipisahkan ibarat roh dan jasad. Jika ini berlaku, maka hancurlah negara ini... negara Melayu," katanya kepada pemberita di majlis simbolik menjunjung kasih dan sumpah taat setia kepada Raja-raja Melayu di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru di sini.

"Simbolik ini, saya berpendapat lebih baik daripada kita himpun berpuluh-puluh ribu orang di tengah padang... tapi tidak dapat input yang mantap berbanding dengan ini (simbolik) walaupun 100 orang kita dapat input secara total, jelas dan nampak," katanya.

Seramai 200 anggota Sahabat lengkap berpakaian baju Melayu hitam, bertanjak atau bersongkok dan berkeris berbaris dalam kawasan berpagar dewan berkenaan.

Dalam pada itu, di SHAH ALAM, lebih 500 anggota Pergerakan Pemuda Umno Selangor dan lapan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu hari ini menyerahkan memorandum sokongan padu dan taat setia terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi raja Melayu. Memorandum tersebut diserahkan oleh Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor, Datuk Mat Yasir Ikhsan kepada Pegawai Pengiring Sultan Selangor, Komander Ahmad Ramli Kardi.

Ia antara lain menyokong sistem raja berperlembagaan yang diamalkan sejak turun-temurun; menyatakan ikrar sumpah setia kepada Sultan Selangor; serta mendukung dan mempertahankan prinsip Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara'.

Malah, memorandum itu turut mencadangkan supaya budi bicara Sultan dipertahankan selain mengembalikan semula imuniti Raja-raja Melayu termasuk meminta supaya pihak istana menarik semula gelaran yang diberikan kepada yang terlibat yang menghasut dan menghina institusi berkenaan.

Antara NGO itu ialah Majlis Belia Selangor, Kesatuan Pelajar-pelajar Melayu Selangor, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Malaysia Negeri Selangor, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Selangor, Gerakan Belia 4B Selangor, Gabungan Badan Bukan Kerajaan Shah Alam dan Pesaka Selangor.

Sebelum itu kumpulan tersebut melakukan perarakan diketuai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menuju ke Istana Bukit Kayangan dekat sini.

Sokongan kumpulan itu menyusuli titah Sultan Selangor kelmarin yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu yang mencabar institusi beraja di negara ini.

Menurut Khir, insitusi berkenaan tidak boleh dipersenda atau diperlekehkan kerana ia merupakan tonggak dan payung kepada kekuatan orang Melayu sehingga hari ini.

"Kita menyelar golongan tertentu yang bergerak atas nama politik untuk kepentingan kuasa, sanggup memperkecil, perlekehkan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebagai bekas Ketua Hakim Negara.

"Keadaan ini jelas menunjukkan golongan ini tidak bertanggungjawab dan sanggup mengenepikan institusi beraja sebagai sebuah insitusi unggul, berdaulat dan mulia sejak berzaman lagi," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan memorandum itu pada kira-kira 10 pagi.

Artikel Lain