suria

MB baru angkat sumpah, BN terajui Perak

SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang baru kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, hari ini. --fotoBERNAMA
SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang baru kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, hari ini. --fotoBERNAMA
SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang baru kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, hari ini. --fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 5.20 PETANG] KUALA KANGSAR: Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (gambar) dari Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak baru - yang ke-11 - di Istana Iskandariah sebentar tadi.

Zambry mengangkat sumpah di sebalik kegawatan politik yang melanda negeri itu sekarang.

Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin, wakil Pakatan Rakyat dan PAS, pula sehingga majlis angkat sumpah itu masih menganggap diri beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau menerima watikah pelantikan daripada Sultan Azlan Shah seterusnya mengangkat sumpah dalam upacara penuh istiadat yang berlangsung pada pukul 4 petang tadi.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor semalam diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pelantikan beliau itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak, semalam.

Dengan pelantikan Zambry itu, Barisan Nasional (BN) hari ini secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

Majlis angkat sumpah tersebut berlangsung dalam keadaan Pakatan Rakyat masih enggan menerima hakikat bahawa ia tidak lagi berkuasa di Perak.

Kesemua 28 ADUN Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah hari ini manakala penyokong mereka pula mengadakan demonstrasi di luar Masjid Ubudiah, 300 meter dari istana, dan cuba menimbulkan kekecohan dengan membaling kayu, batu dan botol ke arah polis dan kenderaan yang melalui Jalan Istana.

Pelantikan Zambry merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri setelah empat orang anggotanya keluar parti dua hari lepas untuk menyokong BN.

Sultan Perak dalam keputusannya semalam menolak permohonan kerajaan Pakatan Rakyat supaya membubarkan DUN Perak sebaliknya baginda menitahkan supaya Mohammad Nizar serta barisan Exco Kerajaan Negeri pimpinannya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta kerana tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota dewan.

Mengikut Undang-undang tubuh Negeri Perak, jika Mohammad Nizar dan barisan Exco tidak berbuat demikian, jawatanjawatan itu dianggap telah dikosongkan.

Zambry, 47, adalah bekas anggota exco kerajaan negeri selama satu penggal dari tahun 2004 hingga 2008 sebelum Perak jatuh kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Berangkat ke istiadat itu adalah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional negeri turut hadir bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, selain dua bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Zambry lulusan ijazah doktor falsafah dari Temple University Amerika Syarikat dalam bidang politik kontemporari, merupakan seorang penulis yang aktif dan ahli politik pertama negara diberikan tauliah sebagai Leftenan Komander Kehormat Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM).

Majlis mengangkat sumpah barisan Exco Kerajaan Negeri yang baru akan berlangsung di Istana Iskandariah pada 10 pagi Selasa ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain