suria

Umno Perak gesa ADUN Bota letak jawatan

PETALING JAYA: Umno Perak turut menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lalu supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu kerana kemenangan beliau adalah atas tiket Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, pihaknya mahu Nasarudin berundur daripada kedudukan itu sebagai tanda menghormati hak dan keputusan pengundi di kawasan yang dimenanginya.

"Kalau keputusan beliau muktamad nak ke sana (pembangkang), dia kena pulangkan kerusi itu.

"Nampak gayanya beliau dah tak nak kembali ke sini (Umno), jadi lebih baik serahkan kembali hak rakyat," katanya kepada mStar Online.

Ramly turut menyifatkan tindakan Nasarudin lompat parti menyertai parti pembangkang itu adalah satu penipuan kepada rakyat yang memilihnya dalam pilihan raya umum lalu.

"Ini menipu rakyat sebenarnya, pengundi di Bota dah beri kepercayaan kepada BN untuk mewakili mereka.

"Tetapi bila dah menang, lupakan itu semua untuk kepentingan peribadi... ini tidak betul," katanya.

Semalam Nasaruddin mengesahkan sudah menyerahkan surat keluar parti kepada pejabat Umno Perak Isnin lalu dan yakin dengan keputusannya untuk tidak kembali kepada Umno.

Mengulas sama ada usaha Badan Perhubungan Umno negeri untuk memujuk Nasarudin kembali menyertai Umno boleh disifatkan gagal, beliau berkata, usaha Umno negeri tidak terhenti setakat itu sahaja.

"Kita tak gagal... bukan kita nak pujuk beliau kembali (sertai Umno) sahaja, tugas kita selepas ini ialah pastikan beliau serah kembali kerusinya kepada rakyat.

"Usaha kami ke arah itu (gesa lepas jawatan) pula selepas ini... kita tak akan berhenti," katanya.

Artikel Lain