suria

Tiada motif bunuh Altantuya - Azilah

SHAH ALAM: Tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Cif Inspektor Azilah Hadri, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh wanita Mongolia itu.

Dalam keterangan membela dirinya, Azilah, 32, berkata dia tidak mengenali Altantuya dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (bunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.

Katanya, selain daripada memberi bantuan (mengawasi rumah Abdul Razak Abdullah Baginda), dia dan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi dengan Altantuya dan mereka tidak pernah menerima permintaan serta arahan untuk mencederakan wanita itu.

Azilah berkata bahawa bantuan yang diberikan kepada Abdul Razak adalah atas arahan seorang pegawai atasan, DSP Musa Safri, dan bukannya kerana Abdul Razak.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengenai serpihan tulang manusia di tempat kejadian, Azilah berkata dia tidak nampak tulang-tulang itu manakala gambar mengenai kawasan letupan dan pembunuhan yang ditunjukkan kepadanya bukanlah tempat yang sama.

"Tempat yang saya pergi bukan macam ini, ia ada kesan terbakar. Ketika berada di situ, saya tidak nampak tulang," katanya ketika ditanya dalam pemeriksaan balas pada hari keempat pembelaannya.

Azilah dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya, manakala penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang pada mula dituduh bersubahat dengan mereka, telah dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Okt tahun lepas tanpa dipanggil membela diri.

Azilah juga berkata, kehadirannya di Hotel Malaya pada 18 Okt 2006 bukanlah untuk menghapuskan Altantuya kerana dia sedar tentang kehadiran sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh merakam segala pergerakan di situ.

Sebelum itu, Azilah berkata tujuan dia berjumpa Altantuya hanyalah untuk menasihati supaya tidak terus mengugut dan mengganggu Abdul Razak.

Ditanya oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mengapa dia mengekori Sirul Azhar selepas mengambil Altantuya dari rumah Abdul Razak, Azilah berkata: "Saya tidak ekori dia. Saya hanya berada di belakang jeep dia. Saya tidak tahupun dia hendak ke mana. Jalan yang kami lalu itu memang menuju ke pusat bandar dan Bukit Aman.

"Saya hendak ke Bukit Aman. Saya berhenti di simpang jalan apabila tengok dia berhenti. Saya hendak tahu apa masalah dia."

Ketika pertanyaan Mohd Zaki itu, Azilah menjawab sebanyak empat kali setelah ditekan hakim supaya menjawab apa yang ditanya kerana Tun Abdul Majid sebelum itu telah menyatakan bahawa tujuannya mengekori Sirul Azhar adalah untuk melaksanakan misi membunuh.

Azilah selesai memberikan keterangan membela diri dan tiada saksi lain akan dipanggil oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad untuk kes pembelaannya.

Sirul Azhar pula memilih untuk membela diri dengan memberikan keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh pada Khamis ini.

Peguambelanya, Kamarul Hisham Kamaruddin memberitahu mahkamah, beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk membantu anak guamnya menyediakan keterangan tidak bersumpah itu.

Mengikut Seksyen 173 Kanun Acara Jenayah, seseorang tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk membela diri, sama ada memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Keterangan tidak bersumpah yang diberikan dari kandang tertuduh tidak akan disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Dalam prosiding hari ini, Kamarul Hisham memberitahu mahkamah beliau akan membuat permohonan lisan untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan bagi penyediaan keterangan membela diri Sirul Azhar.

Mahkamah akan mendengar permohonan lisan itu esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain