suria

Pembaharuan badan kehakiman pulihkan imej tercalar

DI SEBALIK kontroversi dalam Badan Kehakiman Malaysia tahun ini, institusi itu terus teguh dalam perjuangannya ke arah membuat pembaharuan dengan harapan memperbetulkan persepsi umum yang melabelkannya sebagai mengamalkan rasuah dan menurut perintah cabang Eksekutif.

Peristiwa menandakan bermulanya langkah ke arah pembaharuan itu tercetus apabila peguam yang juga ahli politik Datuk Zaid Ibrahim, dipilih sebagai Senator dan dilantik menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, dalam usaha membina semula sebuah badan kehakiman yang boleh dipercayai dan telus serta menawan kembali keyakinan awam terhadap integriti badan kehakiman yang tercemar teruk ekoran pendedahan kontroversi "klip video Lingam."

Ke arah memperkukuhkan lagi kredibiliti badan kehakiman, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan perubahan dalam proses pelantikan dan kenaikan pangkat hakimhakim supaya lebih bersistematik serta telus dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas kehakiman.

Pada 10 Disember, Abdullah membentangkan untuk bacaan pertama Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 bagi menubuhkan sebuah badan kehakiman bebas untuk menguruskan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi, di samping pelantikan Ketua Hakim Negara.

Rang undang-undang itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Suruhanjaya itu akan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara dan dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan empat lagi yang akan dilantik oleh Perdana Menteri.

Rang undang-undang itu, antara lain menjelaskan fungsi suruhanjaya berkenaan, iaitu untuk melantik individu sebagai hakim-hakim mahkamah atasan berdasarkan pengalaman, integriti dan ketegasan mereka selain kebolehan menyampaikan penghakiman pada waktunya. Mereka juga mesti adil, berakhlak mulia dan tekun dalam menguruskan kes.

Ikrar oleh Perdana Menteri untuk pelaksanaan langkah lain termasuk menangani keperluan bagi menetapkan gaji dan imbuhan ke tahap yang betul, telah mendapat persetujuan daripada kalangan perundangan.

Kerajaan selanjutnya menebus kesilapan terhadap hakimhakim yang didakwa dianiayai dalam krisis kehakiman 1988 yang tercetus apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, membentangkan rang undang-undang di Dewan Rakyat bagi meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan kuasa badan kehakiman kepada apa yang diperuntukkan Parlimen sahaja.

Keenam-enam hakim itu bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Azmi Kamaruddin yang dipecat akibat salah laku kerana didakwa menentang usaha Perdana Menteri ketika itu menerima bayaran exgratia berjumlah RM10.5 juta.

Jawatan tertinggi badan kehakiman diambil alih oleh Tun Abdul Hamid Mohamad tahun lepas, seorang yang berpendirian tegas dan sangat menentang rasuah serta salah laku selepas persaraan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Abdul Hamid melaksanakan tanggungjawab untuk membersihkan imej badan kehakiman yang semakin merosot ekoran insiden klip video itu.

Perubahan yang menggambarkan kebebasan juga dapat dilihat dalam keputusan hakimhakim dalam kes mahkamah yang menentang kerajaan.

Salah satu kes seumpama itu membabitkan penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang menjadi duri di pihak kerajaan menerusi beberapa artikel yang disiarkan dalam laman webnya dan kritikan terhadap pentadbiran serta tafsiran mengenai Islam.

Pada 7 November, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan habeas corpus Raja Petra dan memerintahkan dia dibebaskan dari pusat tahanan Kamunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak sekian lama menuduh "campur tangan" dalam badan kehakiman, mengalualukan keputusan dalam kemenangan pusingan pertamanya di Mahkamah Sesyen yang memutuskan sebagai tidak sah sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Keputusan itu menggagalkan usaha pihak pendakwaan untuk memindahkan kes liwat Anwar ke Mahkamah Tinggi dan perkara itu kini dalam semakan.

Mahkamah turut membuktikan ia tidak tunduk kepada kehendak cabang Eksekutif dalam keputusan membabitkan kes petisyen, lebihlebih lagi keputusan itu amat penting kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang hanya menang dengan majoriti mudah dalam pilihan umum Mac lepas.

Satu daripada kes seumpama itu adalah kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang di Perlis apabila calon BN, Abdullah Hassan diisytiharkan menang dengan menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Hashim Jasin.

Berikutan petisyen yang difailkan oleh Hashim, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong dan kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang kemudiannya membuat keputusan memihak kepada PAS.

Begitu juga dengan penghakiman baru-baru ini oleh Mahkamah Khas yang memerintahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, supaya membayar hampir AS$1 juta (RM3.5 juta) kepada sebuah bank selepas memutuskan bahawa Tuanku Ja'afar perlu mengotakan komitmen baginda dalam satu surat kredit.

Bagaimanapun, badan kehakiman terus dibebani konflik dan ketidaktentuan ekoran peletakan jawatan Zaid secara tibatiba daripada Kabinet, menteri yang dikatakan diberi tanggungjawab untuk memastikan kelahiran semula badan kehakiman, dakwaan mengejutkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ian Chin bahawa hakimhakim diugut pecat jika membuat keputusan tidak memihak kepada kerajaan dan pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi, iaitu peguam kepada Umno, bagi menggantikan Abdul Hamid yang bersara wajib.

Zaid mewujudkan gempar berikutan tindakannya meletak jawatan pada pertengahan September sebagai membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap tiga orang awam, bertentangan dengan pendiriannya bahawa undangundang itu hanya sepatutnya digunakan bagi mengekang pengganas, anasir subversif dan pihak yang cuba menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan.

Kehadirannya di kongres kebangsaan Parti Keadilan Rakyat yang menimbulkan kontroversi dan pertemuannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Pulau Pinang membawa kepada pemecatannya daripada Umno.

Zaid yang mendakwa kecewa dengan tentangan yang dihadapinya dalam Kabinet ketika mendesak untuk perubahan dalam badan kehakiman, bagaimanapun, mengumumkan tidak akan menyertai manamana parti politik meskipun dipujuk oleh parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

Di sebalik segala rintangan itu, Abdullah memberi jaminan bahawa pelaksanaan perubahan dalam badan kehakiman tidak akan dilengahkan.

Sementara itu, Zaki, apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, mengguna pakai pendekatan Abdul Hamid dengan berikrar untuk mengenakan tindakan drastik terhadap hakimhakim yang ingkar dan memberi jaminan bahawa beliau tidak akan mendengar perbicaraan kes yang membabitkan Umno sehinggalah persepsi masyarakat terhadapnya berubah.

Beliau turut membawa khabar gembira kepada masyarakat umum dan kalangan perundangan dengan mengikrarkan penambahbaikan dalam sistem penyampaian mahkamah dan menyelesaikan kes tertunggak.

Ini sudah semestinya akan membantu melenyapkan keraguan terhadapnya mengenai sama ada beliau dapat bersikap tidak memihak ketika melaksanakan tanggungjawabnya.

Dengan undang-undang Islam menjadi semakin penting di Malaysia, Ketua Hakim Negara ke12 turut berjanji bahawa badan kehakiman akan mencari jalan menyelesaikan konflik dalam undang-undang sivil dan syariah bagi menghindarkan sebarang salah tafsiran.

Zaki bagaimanapun masih belum boleh menarik nafas lega memandangkan peguam veteran Karpal Singh berjaya dalam usahanya mendapatkan 57 anggota Parlimen untuk membincangkan perilaku beliau di Dewan Rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain