suria

Jakim bincang jawatan imam dan bilal diletak di bawah skim kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi meletakkan jawatan imam dan bilal masjid di bawah skim kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengadakan beberapa perbincangan dengan jabatan berkenaan, tetapi belum mencapai sebarang keputusan muktamad setakat ini.

"Pada umumnya pelantikan imam dan bilal terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Di setiap negeri memang telah wujud perlantikan imam dan bilal yang mempunyai skim kerajaan terutama di masjid negeri dan daerah.

"Contohnya imam besar masjid negeri ada yang terletak di bawah Skim S48 dan masjid daerah di bawah S41, bergantung kepada pelaksanaan di negeri masing-masing," katanya menjawab soalan Senator Wan Ramlah Wan Ahmad pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Wan Ramlah ingin tahu bila kerajaan akan meletakkan jawatan imam dan bilal masjid ke dalam skim kerajaan bagi membolehkan mereka dibayar gaji bulanan seperti kakitangan awam lain.

Beliau berkata terdapat imam dan bilal di masjid mukim yang belum diletakkan di bawah skim kerajaan tetapi mereka dibayar elaun oleh Majlis Agama Islam Negeri dan pihak pengurusan masjid sendiri.

"Bagi membantu imamimam di masjid mukim ini, kerajaan telah memberi elaun sebanyak RM450 sebulan kepada 13,481 imam di seluruh negara dengan kos tahunan mencecah hampir RM70 juta," katanya.

Mashitah berkata pemberian elaun sebanyak RM450 kepada imam dan bilal sejak 2005 merupakan tanda kesungguhan kerajaan memartabatkan jawatan itu.

"Sebelum 2005, ada imam dan bilal yang hanya dibayar RM150 hingga RM200 sahaja, jadi imbuhan (elaun) ini merupakan kesungguhan kerajaan untuk meletakkan jawatan itu ke satu tahap yang lebih baik.

"Kita katakannya sebagai imbuhan dan bukan gaji kerana mereka tidak bekerja sepenuh masa sebagai imam dan bilal. Mereka mempunyai pekerjaan tertentu dan hanya bekerja tambahan saja dan ini kita berikan imbuhan," katanya.

Beliau berkata bagi jawatan imam dan bilal di tiga buah masjid di bawah pengurusan Jakim, telah ada skim kerajaan iaitu di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

"Jawatan imam besar Masjid Negara contohnya di bawah Skim S45 dan bilal S11, sementara itu imam dan bilalbilal masjid di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga telah diluluskan ke jawatan skim kerajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada Disember 2007," katanya.

Ketika menjawab soalan Datuk Gooi Hoe Hin yang ingin tahu jumlah pengaduan yang diterima Biro Pengaduan Awam, Mashitah berkata dari Januari hingga Oktober lepas biro itu menerima sebanyak 3,347 kes dan sebanyak 2,745 daripadanya atau 82 peratus aduan telah diselesaikan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain