suria

Hukuman penjara dan denda ke atas Haslinda Merican dikekalkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen hukuman 10 bulan penjara dan denda RM5,000 terhadap pengeluar produksi dan bekas konsultan kewangan kerana bertindak sebagai orang tengah bagi empat orang adik-beradik untuk tujuan pelacuran pada 1995.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa tidak ada arahan salah bagi mahkamah rendah dan menambah beliau tidak campur tangan dalam kesabitan dan hukuman.

Haslinda Merican M.A. Merican, 43, dan Mohamad Amin Jamadi, 40, didapati ber salah oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Okt, 2000 kerana kesalahan di lobi Ming Court, Jalan Ampang, di sini, antara 8 malam dan 10.30 malam pada Jun 1995.

Haslinda dan Mohamad Amin dituduh di bawah Seksyen 16(1) Akta Perlindungan Wanita dan Remaja Perempuan 1973 yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Semasa perbicaraan nama artis-artis itu berumur 18 dan 35 tahun tidak dinyatakan berikutan arahan mahkamah.

Mohamad Zabidin juga menolak rayuan balas oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan peguam perayu Gurbachan Singh untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan melanjutkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap orang.

Haslinda dan Mohamad Amin tenang selepas mendengar hukuman.

Mohamad Amin, konsultan di projek pesawat Eagle di Melaka pada 1994 dan telah bertanding dalam pertandingan jet ski di Perancis pada 1995 selain seorang ketua pegawai dalam pertubuhan perlumbaan basikal the Le Tour de Langkawi dari 1996 hingga 1999.

Sementara, Haslinda membabitkan diri dalam produksi drama dan dokumentari serta aktiviti mempromosikan pelancongan.

Gurbachan Singh memberitahu pemberita bahawa beliau akan memfailkan rayuan esok.

Timbalan Pendakwa raya Fariza Hamzah bertindak bagi pendakwaean. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain