suria

Hishammuddin Kutipan bayaran tambahan PIBG pada pertengahan tahun

KUALA LUMPUR: Bermula tahun hadapan, sebarang kutipan bayaran tambahan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak lagi dibuat pada awal tahun seperti kebiasaan, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebaliknya, kata Hishammuddin, Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2009 pada Isnin lepas memutuskan bayaran tambahan itu akan dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat PIBG.

"Melalui langkah ini, PIBG dan ibu bapa akan diberikan mandat dan peluang untuk menentukan jumlah yang akan dikutip daripada ibu bapa.

"Selain mengurangkan beban tanggungan ibu bapa, langkah ini selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran mengupayakan peranan dan tanggungjawab PIBG dalam membantu membangunkan sistem pendidikan negara," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Cuba ke Malaysia Carlos Alfredo di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hishammuddin berkata perkara itu diputuskan memandangkan situasi ekonomi yang tidak menentu dan selepas membincangkan pendekatan terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan awal tahun ibu bapa dalam menanggung perbelanjaan persekolahan.

Beliau berharap PIBG tidak seharusnya menjadikan keputusan kerajaan itu satu isu kerana pada masa yang sama, kementerian terpaksa menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009.

"Perkara ini perlu diperjelaskan ke peringkat akar umbi dan saya telah mengarahkan pengarah di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya tidak ada mana-mana pihak terkeliru.

"Kita juga berharap supaya ia tidak mewujudkan suasana yang tidak sedap didengar kerana lebih-lebih lagi kita dah bantu melalui bantuan tambahan yang kita bertungkuslumus pertahankan dalam keadaan nilai peruntukan kita sudah menurun dalam 20 hingga 30 peratus," katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga telah mengarahkan supaya kementerian melihat cara yang sesuai untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG secara telus.

Yuran tambahan PIBG sering menjadi isu dan rungutan ibu bapa setiap kali bermula sesi persekolahan kerana jumlahnya mencecah sehingga RM180 dan membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Kementerian Pelajaran pada 30 Okt tahun lepas mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan amaun maksimum atau siling yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Amaun maksimum bayaran tambahan bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala bagi sekolah menengah pula ialah RM55.50.

Kerajaan telah memansuhkan yuran rasmi bagi sekolah rendah dan menengah bermula sesi persekolahan 2008.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata bagi sesi persekolahan 2009, kementerian telah menyediakan peruntukan besar bagi tujuan bantuan tambahan, antaranya; RM1.06 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM270 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, RM262 juta untuk Biasiswa Pelajar, RM246 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM200 juta untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Beliau berkata peruntukan lain adalah RM72 juta untuk Bantuan Murid Orang Kurang Upaya (OKU), RM27 juta untuk Program Susu Sekolah dan RM20 juta untuk Bantuan Pakaian Seragam Unit Beruniform.

"Selain itu kementerian turut menyalurkan RM96.319 juta untuk peluasan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Pada masa sama kementerian turut membantu muridmurid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM600 sebulan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain