suria

Polis tahan tiga suspek bunuh juruwang stesen petronas

IPOH: Polis telah memberkas tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pembunuhan kejam seorang juruwang sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini pada 11 November lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata suspek terbabit yang berusia antara 19 hingga 41 tahun ditahan di sebuah rumah di Bercham di sini petang Khamis.

Polis turut merampas sebilah parang, sebuah topi keledar dan pakaian di rumah berkenaan yang dipercayai digunakan semasa kejadian rompakan yang menyebabkan kematian juruwang berkenaan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan dan polis masih mengesan beberapa suspek lagi yang dipercayai dapat membantu dalam kes berkenaan," katanya.

Dalam kejadian pada 11 Nov lepas, Mohd Khairuddin Mohd Ishak, 40, mati selepas ditetak seorang daripada empat lelaki bersenjata parang yang menyamun stesen minyak berkenaan. Ketika kejadian mangsa dikatakan baru selesai syif malam dan hendak pulang ke rumah apabila premis itu dimasuki seorang daripada empat lelaki yang meminta mangsa menyerahkan wang tunai.

Zulkefli berkata dalam kejadian itu, seorang suspek menetak mangsa dengan sebilah parang sebelum merampas wang tunai hampir RM1,000 dan melarikan diri dengan tiga lagi rakannya dengan menaiki sebuah kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Mohd Ali Mansor berkata YPM akan memberi bantuan persekolahan kepada semua enam orang anak mangsa dari Tahun Satu hingga Tingkatan 5.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dari YPM kepada isteri mangsa, Narjes Moktar, 38, di rumahnya di Bandar Meru Raya di sini.

Mohd Khairuddin meninggalkan enam anak berusia lima bulan hingga 14 tahun.

Dalam perkembangan lain, Zulkefli berkata polis menumpaskan sekumpulan 12 lelaki termasuk beberapa pelajar sekolah yang dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan samun di sini dan Sungai Siput.

Beliau berkata mereka yang berusia dari 16 hingga 23 tahun itu ditahan antara 3 Nov dan 10 Nov dalam satu operasi khas dan polis turut merampas sembilan bilah parang.

Zulkefli berkata dua daripada mereka adalah pelajar sekolah yang kini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kedua-dua pelajar terbabit dibebaskan dengan jaminan polis. BERNAMA

Artikel Lain