suria

Ketuanan Melayu hanya wujud jika bangsa Melayu berjaya

SHAH ALAM: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata ketuanan Melayu hanya wujud jika bangsa Melayu mempunyai ciri-ciri atau nilai positif untuk menjadi bangsa yang berjaya.

Beliau berkata, tidak ada gunanya melaung-laungkan ketuanan Melayu jika anak bangsa itu tidak mempunyai kekuatan untuk menguasai ilmu seperti dalam ekonomi dan bidang-bidang lain yang penting.

Muhammad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim semalam bahawa ketuanan Melayu adalah satu konsep yang gagal dan hanya membawa keburukan kepada kemajuan bangsa Melayu di negara ini.

Muhammad berkata, ketuanan Melayu hanyalah satu retorik kerana apa yang lebih penting ialah bagaimana anggota masyarakat mendidik generasi muda dengan sebaik-baiknya menggunakan Fasa 153 dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Hak Istimewa Orang Melayu.

"Jadi Zaid Ibrahim mungkin punyai kefahaman yang silap kerana ketuanan Melayu tidak lahir hanya dengan slogan, tetapi lahir dengan program-program yang berjaya majukan bangsa Melayu melalui Fasa 153," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelapan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia cawangan Selangor di sini hari ini.

Di BUTTERWORTH, persidangan perwakilan Umno Bahagian Bagan hari ini sebulat suara meluluskan usul yang dikemukakan Ketua Bahagian Datuk Abdul Latiff Mirasa supaya Perkara 152, 153 dan hal berkaitan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak untuk meraih sokongan akar umbi.

Selain itu, bahagian berkenaan turut mencadangkan supaya Umno mengehadkan tempoh pemimpin memegang jawatan kepada tiga penggal bagi memberi peluang golongan muda mengambil alih jawatan itu selaras dengan proses meremajakan parti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain