suria

Mahkamah batalkan saman fitnah Sharifah Aini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman fitnah yang dikemukakan oleh penyanyi Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar terhadap seorang bekas wartawan hiburan setelah kedua-duanya gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan.

Malah peguam dari Tetuan Ghazali Ariff & Partners yang mewakili Sharifah Aini, dan peguam dari Tetuan Kamarul Hisham & Hasnal Rezua yang mewakili Fauziah Mohd Johar, juga tidak hadir semasa Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Yazid Mustafa membuat keputusan itu pada 11.31 pagi tadi.

Perbicaraan sepatutnya berlangsung hari ini dan esok. Pada 25 Sept lepas, peguam kedua-dua pihak tidak hadir bagi prosiding pengurusan kes.

Sharifah Aini, 54, menyaman Fauziah yang lebih dikenali sebagai Zieman, wartawan The Star, kerana mendakwa telah memfitnah beliau ketika bercakap dengan seorang lagi wartawan, Saodah Ismail, daripada media elektronik, Agendadaily Dot.Com. Dalam samannya yang difail pada April 2004, Sharifah Aini yang telah terlibat dalam bidang nyanyian sejak 36 tahun lepas, menuntut sejumlah bayaran yang tidak dinyatakan selain mahu supaya Fauziah atau ejennya tidak mengulangi kenyataan berunsur fitnah itu.

Dai mendakwa Fauziah, yang kini bertugas dengan mStar Online, telah bercakap secara tidak benar dan berniat jahat kepada Saodah bagi memburukkan namanya sebagai seorang penyanyi dan penghibur berhubung satu persembahan di Istana Budaya di sini.

Menurut Sharifah Aini, kenyataan berunsur fitnah itu membawa maksud bahawa konsert berkenaan gagal dan persembahan beliau tidak seperti yang diharapkan.

Dalam kenyataan pembelaannya, Fauziah menafikan dia mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Sharifah Aini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain