suria

Jangan guna dawai kokot atau berdepan kompaun

Dawai kokot sering dilihat pada bungkusan kuih tepung pelita.

KUANTAN: Semua peniaga di 33 bazar Ramadan di daerah ini diingatkan untuk tidak menggunakan dawai kokot pada bungkusan produk jualan mereka atau berhadapan dengan tindakan kompaun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang Abd Rahim Muda berkata peniaga yang gagal mematuhi syarat ditetapkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM250.

Katanya, ketetapan mengharamkan penggunaan dawai kokot adalah bagi tujuan keselamatan memandangkan terdapat kemungkinan pengguna khususnya kanak-kanak boleh tertelan barangan tersebut.

"Terdapat peniaga yang gemar menggunakan dawai kokot pada pembungkus makanan, plastik sos atau makanan yang dibalut dengan daun pisang seperti pulut panggang ekoran lebih mudah dan murah.

"Bagaimanapun, penggunaannya boleh mendatangkan bahaya dan kita mahu peniaga memikirkan alternatif lain bagi menggantikan dawai kokot," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di bazar Ramadan Mahkota Square di sini, Rabu.

Abd Rahim menambah pihak MPK juga telah memaklumkan larangan penggunaan dawai kokot kepada 1,887 peniaga bazar di sekitar Kuantan sebelum mereka memulakan perniagaan pada 1 Ramadan lepas.

Selain dawai kokot, mereka juga dinasihatkan untuk tidak mengunakan pembungkus makanan polisterin dan mengamalkan amalan pengendalian makanan yang baik seperti memakai sarung tangan dan penutup mulut, katanya.

"MPK telah memulakan pemantauan di semua bazar di daerah ini sejak bermulanya puasa dan didapati masih ada peniaga yang menggunakan dawai kokot dan bekas polisterin.

"Pada minggu pertama puasa, MPK memberi amaran kepada peniaga untuk menambah baik amalan perniagaan mereka, namun memandangkan kita sudah dua minggu menjalani ibadah puasa, tindakan kompaun akan dikenakan.

"Setakat ini, lima peniaga sudah dikenakan kompaun atas kesalahan dawai kokot iaitu di bazar Ramadan Taman Tas dan Balok," katanya.

Abd Rahim juga memberitahu MPK akan terus membuat pemantauan terhadap pengemis yang mengambil kesempatan di bazar Ramadan, yang kebanyakannya melibatkan warga asing. - BERNAMA

dawai kokot, Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain