suria

Jangan tular hadis palsu Ramadan

SELURUH umat Islam bakal meraikan kedatangan bulan Ramadan mulai Khamis, 17 Mei 2018.  Pastinya, seluruh umat Islam sudah bersedia dan mempersiapkan diri untuk bertemu serta menghayati kenikmatan bulan rahmat ini.

Namun, dalam keterujaan menanti bulan yang terkandung pelbagai kelebihan dan keberakatan, tular pula hadis berkenaan kelebihan tarawih palsu di media sosial.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah SAW telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang terawih pada bulan Ramadan antaranya:

Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai ke malam yang ke-tiga puluh.

Namun, setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa orang tokoh agama tentang kedudukan hadis ini, masing-masing tidak dapat memberikan penjelasan. Begitu juga dengan penelitian yang dibuat dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ia masih tidak ditemui.

Menurut Datuk Dr Abd Basit Abd Rahman, menerusi tulisannya yang pernah tersiar dalam Majalah i, Julai 2013,  hadis palsu berkenaan juga tidak ditemui dalam  kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat).  Ini menunjukkan bahawa hadis tersebut merupakan satu hadis baharu yang diada-adakan.

“Tiada siapa menidakkan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya di dalam sunnah. Namun,  kita tidak mahu umat Islam terus tertipu dengan pelbagai  janji palsu yang menyebabkan kita mengerjakan amalan-amalan kebaikan yang sebenarnya tidak terkandung pahala dan manfaat sebenar.  

“ Penularan hadis-hadis palsu seumpama ini hanya akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah SAW yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu,”katanya.

Tambah beliau lagi, Rasulullah SAW telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim).

“Hadis ini diriwayatkan dengan banyak  sehingga sampai ke peringkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan ke atas Nabi SAW sama ada dengan maksud memberi galakkan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

“Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad SAW menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam   

“Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini,”terangnya.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad SAW di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.

“Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam. Bahkan ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Begitu juga dengan  pernyataan berbentuk syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Seperti mana firman Allah dalam Surah an-Najm ayat 3-4 yang bermaksud: {Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.}.

“Malah dalam  riwayat al-Bukhari ada menjelaskan tentang janji ganjaran dari Allah kepada umatnya yang berpuasa dan beribadah.  ‘Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu,” terang beliau.

Di akhir tulisannya, beliau menasihati agar umat Islam tidak mudah tertipu dengan dakyah-dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah. Sehingga mendorong masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala. Sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperoleh kerana menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.-SinarHarian

Ramadan, hadis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain