suria

Analisis: Muktamar PAS Medan Timbulkan Persoalan

TIADA apa yang menarik melainkan timbulnya persoalan demi persoalan. Bunyinya mungkin aneh tetapi demikian gambaran yang sesuai diberikan terhadap keseluruhan Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang berlangsung di Kedah, baru-baru ini.

Manakan tidak, beberapa isu penting yang masih belum terjawab sepanjang berlangsungnya muktamar itu selama lima  hari, antara acara tahunan PAS paling lama diadakan sejak parti Islam itu ditubuhkan pada 1951.

Sebagai pengamal media yang pertama kali mengikuti muktamar parti yang sudah berusia 66 tahun ini, penulis mengakui  teruja untuk menghadiri sesi 'bertikam lidah' antara perwakilan ketika membahaskan usul, selain kehangatan perebutan jawatan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat termasuk naib presiden.

Apatah lagi, muktamar kali ini dihiasi isu-isu kritikal seperti tahaluf siyasi politik antara PAS dan PKR, Rang Undang-Undang 355 (RUU355), kritikan ahli terhadap parti sendiri dan kekalahan mengejut Nik Mohamad Abduh Niz Abdul Aziz, anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa pada Mac lalu.

Sudah semestinya, penulis dan rakan-rakan media lain mengharapkan kehangatan muktamar itu sendiri menjelmakan berita yang menarik untuk dilaporkan kepada umum, bukan bermaksud berita yang tidak enak khususnya kepada PAS sendiri tetapi setidak-tidaknya sesi perbahasan yang lebih dramatik atau paling penting tidak mengantuk ketika mendengarnya.

Polemik Tahaluf Siyasi

Perlu diakui bahawa hanya ketika perbahasan tahaluf siyasi dan keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menjadi tumpuan kebanyakan media dan penulis yakin ahli PAS sendiri kerana dua perkara itu berkait rapat dengan hubungan retak PAS-PKR.

Sejak hari pertama muktamar yang menyaksikan kelantangan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS menggesa agar proses 'penceraian' dipercepatkan namun Dewan Muslimat seolah-oleh mengambil pendirian 'tidak mengambil peduli' berhubung isu itu apabila usul memutuskan hubungan kerjasama politik dengan rakan sekutunya itu tidak disentuh dalam muktamar tahunan Dewan Muslimat PAS.

Bagaimanapun, menjawab persoalan itu, Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh berkata Dewan Muslimat kelihatan 'senyap' berhubung isu itu kerana ia sudah dibincangkan pada muktamar tahunan dewan itu tahun lepas.

"Isu ini, Dewan Muslimat yang bawa pada muktamar tahun lalu. Kami lebih maju. Usul ini telah dibawa dalam muktamar di Kelantan supaya Majlis Syura Ulama membuat kajian tentang hubungan dengan PKR," katanya.

Mungkin di situ kelihatan seperti ketiga-tiga sayap parti tidak sepenuh hati mahu memutuskan hubungan dengan PKR yang terjalin sejak 1999, sebaliknya hanya pasrah menyerahkan keputusan muktamad tahaluf siyasi kepada Majlis Syura.

Di sini timbulnya persoalan pertama, adakah Majlis Syura penentu keputusan penceraian tersebut? Kemudian timbul persoalan kedua, sekiranya ditolak, apa perancangan lain Dewan Ulama, Dewan Pemuda PAS mahupun Dewan Muslimat PAS?

Adakah mereka sanggup menjilat semula ludah selepas segala tomahan yang dilemparkan kepada PKR semata-mata akur dengan keputusan Majlis Syura?

Malah Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil langkah selamat dengan memberi kenyataan yang positif apabila ditanya tentang isu tersebut dan hanya menyerahkan Majlis Syura untuk menentukannya.

Siapa Lebih Berkuasa?

Menyentuh tentang persoalan pertama, adakah keputusan Majlis Syura lebih penting daripada muktamar kerana secara teknikalnya, PAS sudah menjatuhkan cerai talak tiga ke atas PKR selepas usul tahaluf siyasi itu diterima sebulat suara pada sesi perbahasan usul Muktamar Tahunan PAS.

Itu disahkan sendiri ahli PAS, Datuk Mahfuz Omar atau yang diberi gelaran sebagai Abang Pokok Sena oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Menurut Mahfuz, sebenarnya Muktamar PAS memiliki kuasa lebih tinggi daripada Majlis Syura yang hanya akan memikirkan tentang bagaimana pelaksanaan dan bila hubungan PKR-PAS akan diputuskan.

"Dulu pun semasa dengan DAP, usul (tahaluf siyasi) dipulangkan kepada Majlis Syura, tetapi usul itu telah mencapai persetujuan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

"Jadi Majlis Syura tidak ada jalan lain selain memutuskan hubungan apabila usul itu diterima muktamar.

"Tidak boleh tidak, (tahaluf siyasi) mesti putus, sebab ini keputusan muktamar yang lebih tinggi daripada Majlis Syura," katanya.

Dilema Abang Pokok Sena dan Iskandar Samad

Memandangkan proses penceraian PAS-PKR hanya menunggu 'cop' rasmi Majlis Syura, timbul lagi satu persoalan tentang pendirian PAS terhadap ahli mereka terutamanya ahli Parlimen Pokok Sena itu sendiri dan Datuk Ir Iskandar Abdul Samad yang dilihat sebagai pro-PKR.

Mahfuz secara jelas ditolak oleh kebanyakan PAS termasuk pucuk pimpinan apabila beliau tidak dijemput ke muktamar kali ini selepas perselisihan antara kedua-dua pihak tentang kerjasama dengan parti lain khususnya blok Pakatan Harapan.

Malah beberapa banting dipasang pada Komples PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan mesej jelas mendesak Mahfuz meninggalkan PAS selepas beliau melontarkan kritikan terhadap Parti sendiri, lebih-lebih lagi soal hubungan PAS-PKR.

Tetapi beliau tetap melaungkan kesetiaan terhadap PAS selain melontarkan harapan bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan masih boleh diselamatkan.

Nasib berbeza pula tercatit pada Iskandar apabila beliau berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden PAS walaupun diramalkan tersingkir kerana Adun Cempaka itu dikatakan memiliki hubungan rapat dengan kerajaan Selangor yang dipimpin oleh PKR.

Apatah lagi, Iskandar memegang portfolio penting dalam kerajaan Selangor iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar pastinya mencetuskan dilema buatnya untuk memilih pihak sama jawatannya di Selangor atau terus bersama PAS.

Walaupun beliau tidak mengeluarkan sebarang kritikan ke atas parti sendiri, tetapi 'kerjasama' beliau dalam kerajaan pimpinan PKR mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli PAS, lebih-lebih lagi Iskandar memegang jawatan sebagai Naib Presiden PAS.

Kekalahan Nasrudin dan Legasi Nik Aziz

Ramai menjangkakan bekas Ketua Pemuda PAS dan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan bakal melakar kejutan pada perebutan tiga kerusi Naib Presiden kali ini.

Benar kata Ketua Pemuda PAS baharu, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Islam melarang sebarang bentuk ramalan walaupun tepat.

Ternyata ramalan banyak pihak apabila Nasrudin diketepikan barisan perwakilan PAS dan mengekalkan tiga Naib Presiden PAS terdahulu.

Keputusan ini menimbulkan juga menimbulkan persoalan mengapa perwakilan PAS menolak Nasrudin, adakah atas dasar kurang keyakinan disebabkan pengalamannya yang masih mentah atau lebih selesa dengan kepimpinan yang sedia ada.

Bagaimanapun perkara itu tidak dianggap lagi penting oleh Nasrudin apabila beliau sendiri mendoakan kekalahannya dalam perebutan jawatan itu sebelum keputusan diumumkan dan ternyata doanya itu dimakbulkan.

"Saya rasa seperti nak terbang, rasa ringan serta beban yang ada di dalam diri ini seolah dirombak keluar.

"Saya juga merasakan keputusan yang dibuat adalah saksama oleh para perwakilan dan akan terus mendokong kepimpinan yang ada kini," katanya.

Lain pula kisahnya dengan satu-satunya legasi Nik Aziz, Nik Abduh yang memenangi satu daripada 18 kerusi Ahli Jawatankuasan Kerja (AJK) dengan meraih undi yang paling tinggi berbanding 26 calon lain.

Kemenangannya itu jelas menunjukkan legasi Nik Aziz tidak dilupakan dan masih popular dalam kalangan ahli PAS.

Namun persoalannya, mengapa beliau tewas teruk di Pengkalan Chepa, sebaliknya menjadi calon paling popular di muktamar?

Sukar untuk merungkai persoalan tersebut, setidak-tidaknya legasi Nik Aziz masih wujud dalam kepimpinan PAS untuk memastikan perjuangan parti tidak bersasar daripada landasan asal terutamanya dalam kalangan orang muda.

Muktamar PAS, Abdul Hadi

Artikel Sebelum

Artikel Lain