suria

Magik: Bolehkah Mayne Menghilangkan Diri?

Sebelum menjadi ahli silap mata yang popular, Andrew Mayne pernah bekerja dengan beberapa ahli silap selebriti seperti David Copperfield dan David Blaine.

AHLI silap mata kelahiran Amerika Syarikat, Andrew Mayne telah didedahkan dalam dunia magik sejak kecil.

Semuanya bermula apabila datuknya sendiri membuat magik dengan menghilangkan sekeping duit syiling daripada pandangan mata.

“Dia memusingkan duit syiling berkenaan di atas meja dan menekupnya dengan tangan dan kemudiannya menghilangkan duit syiling tersebut.

“Selepas itu duit syiling itu akan ditemui dalam kasut atau pusat saya. Saya sangat teruja dengan apa yang berlaku dan mahu tahu lebih lanjut mengenainya,” kata lelaki bujang yang berusia 41 tahun.

Ketika zaman remajanya, Mayne pernah bekerja disebalik tabir dalam sebuah rancangan David Copperfield.

Selepas menamatkan zaman sekolah menengahnya, ahli silap mata kelahiran Alabama ini memulakan kerjayanya dengan membuat persembahan di resort dan casino di serata dunia.

Antara nama besar yang pernah beliau bekerjasama ialah David Blaine dan Penn & Teller.

Dia juga turut menulis buku  bercorak misteri, dan kisah seram.

Salah satu karya tulisannya, ialah Angle Killer, yang memaparkan kisah seorang agen FBI wanita yang mempunyai latar belakang sebagai ahli silap mata.

Menulis buku dan bagaimana melakukan magik nampak seperti tidak berkaitan, namun bagi Mayne kedua-duanya mempunyai teknik penceritaan tersendiri.

“Sebagai ahli silap mata, saya mahu memberitahu anda cerita. Saya mahu mencipta konflik dan cuba menyelesaikannya.

“Sekiranya saya meminjam sekeping  kertas daripada anda dan kemudiannya saya mengoyakannya, menunjukkan saya telah mencipta masalah dan kemudiannya menyelesaikannya,” katanya.

Mencipta konflik pula sesuatu yang sering dilakukan Mayne dalam persembahannya, Don’t Trust Andrew Mayne.

Mayne bukanlah nama baru dalam bidang silap mata, dia pernah menerbitkan rancangan televisyen bertajuk Wizard School pada 2004.

Rancangan yang mengajar teknik magik serta sains kepada kanak-kanak itu turut disiarkan di saluran tempatan Amerika.

Beliau juga merupakan rakan kongsi dalam sayarikat produksi Jaras/Mayne, yang menerbitkan G4 Underground, rancangan bersiri syarikat kable televisyen pada 2009 dan 2010.

Mayne tidak pernah menjejakkan kaki ke universiti, namun dia sangat meminati bidang sains dan ini yang banyak membantu menjadikannya seorang ahli silap mata yang hebat.

Dia sering bercerita mengenai sains melalui podcast nya, Weird Things.

Menurutnya, magik merupakan sihir penyamaran yang mengaplikasikan prinsip saintifik secara bijak.

Pernahkan sesiapa marah atau merasa tersinggung dengan magik yang anda lakukan?

Saya suka mengusik orang sedikit, namun saya tidak bermaksud untuk menyakiti hati mereka. Saya tidak mahu mereka yang bertemu dengan saya  mempunyai pengalaman yang tidak baik.

Jika anda mahu salah satu daripada magik atau kaedah ilusi diterjemahkan ke alam nyata apakah ia?

Saya mahu cuba untuk menghilangkan diri, ia sangat menggembirakan. Anda boleh mengembara ke mana sahaja sekelip mata tanpa perlu menghadapi ‘jetlag’.

Pernahkah anda rasa ingin menghilangkan diri?

Ya (ketawa). Apabila sesuatu perhubungan itu menjadi kekok, saya ingin menghilangkan diri daripada kereta atau meja makan. Ia sangat membantu.

Anda orang yang tidak suka bau durian. Adakah anda mempunyai teknik magik yang boleh menjadikan bau durian lebih sedap?

Ia sangat menarik apabila magik cuba bermain dengan deria. Ada teknik magik yang boleh digunakan kepada orang buta.

Bagaimana anda mahu dikenang?

Saya mahu dikenang selagi saya masih hidup. Saya mahu hidup selama-lamanya.  Saya mahu dikenang sebagai orang yang membuat orang lain gembira.

Mayne Act, Magik, ahli silap mata

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain