suria

Penutupan Pasar Malam TTDI Mengejutkan - Pengunjung

Pasar malam TTDI.
Pasar malam TTDI.
Pasar malam TTDI.

PENGUNJUNG tetap pasar malam Taman Tun Dr Ismail terkejut mengenai notis penutupan mengejut pasar malam tersebut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuatkuasa 26 Januari ini.

Gambar notis tersebut bertarikh 16 Januari dikeluarkan kepada para peniaga pada Ahad tersebar luas di laman Twitter, malam Ahad.

Notis tersebut menyebut DBKL membuat keputusan itu selepas para peniaga gagal menyelesaikan aduan yang kerap diterima seperti kesesakan lalu lintas dan tahap kebersihan.

Pengunjung pasar malam itu menggunakan Twitter sebagai medium untuk menyatakan rasa tidak puas hati.

"Apa, berita ini mengenai pasar malam TTDI yang akan ditutup!:(((( Saya dapat rasakan zaman kanak-kanak saya telah dicuri! :(((," tweet Rachael Looi.

"Alasan tidak munasabah, kebersihan dan kesesakan lalu lintas," tweet Pankajkumar.

"Pasar malam TTDI ada bihun sup terbaik :( dan ia dijual di sana sejak saya masih kecil. Alasan yang tidak masuk akal untuk menutup pasar malam itu," tweet Katrina von Gazzali.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata DBKL menerima banyak aduan mengenai kelemahan pengurusan pasar malam itu sejak dua tahun lalu.

"Aduan diterima dari penduduk kondominium Sinaran TTDI selain penduduk di kawasan berhampiran.

"DBKL telah mengadakan perbincangan dengan Badan Pengurusan Bersama kondominium terbabit mengenai aduan tersebut tetapi tiada jalan penyelesaian.

"Kawasan itu sesuai untuk pasar malam tetapi ia dibenarkan untuk beroperasi beberapa tahun lalu atas permintaan orang ramai.

"Sekiranya penganjur pasar malam dan Badan Pengurusan Bersama kondominium tersebut dapat mencari jalan penyelesaian, pasar malam itu akan terus beroperasi.

"Namun, keutamaan kita adalah kebajikan para penduduk.

"Aduan utama adalah mengenai kesesakan lalu lintas, menyukarkan pergerakan keluar masuk penduduk di kondominium tersebut, selain tahap kebersihan," katanya.

Ahmad Phesal menegaskan, DBKL tidak berniat untuk menyukarkan kehidupan para peniaga.

"Walaupun notis penutupan itu sudah dikeluarkan, saya berharap penganjur dan Badan Pengurusan Bersama kondominium terbabit boleh tampil dengan penyelesaian menang-menang," katanya.

Setiausaha Pertubuhan Penduduk TTDI, Margaret Lee berkata, mereka kecewa kerana tidak dimaklumkan sebelum notis itu dikeluarkan.

"Kami ada terdengar khabar angin mengenai penutupan tersebut dan saya ada menulis surat kepada DBKL untuk menjelaskan perkara itu pada awal Januari.

"Maklum balas dar DBKL memberitahu bahawa mereka akan menyiasat perkara itu. Kemudian secara tiba-tiba, para peniaga menerima tamparan hebat dengan pengeluaran notis tersebut.

"Pasar malam itu beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu dan penutupan itu akan menjejaskan penduduk dan juga kehidupan para peniaga," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beliau akan menulis surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi meminta penjelasan berhubung arahan penutupan itu dan turut menghantar satu salinan kepada Ahmad Phesal.

"Arahan penutupan itu dikeluarkan tanpa berunding dengan persatuan penduduk di kawasan itu.

"Persatuan penduduk tidak bersetuju dengan keputusan itu. Saya menasihatkan para peniaga supaya meneruskan perniagaan seperti biasa pada Ahad ini sementara menunggu maklum balas daripada Tengku Adnan," katanya.

Artikel Lain