suria

Belajar Daripada Sabah & Sarawak

TAHNIAH! Memang sesetengah ahli politik kita perlu ditegur dan tentu banyak di kalangan kita yang merasa lega kerana masih ada pemimpin yang berpemikiran rasional dan moderat yang berani menegur pihak yang gemar bermain dengan isu perkauman dan keagamaan.

Sejak beberapa minggu lalu, kita mendengar para pemimpin dari Sabah dan Sarawak menegur rakan-rakan mereka dari Semenanjung untuk tidak mambawa permainan politik mereka ke kedua-dua negeri itu.

Dengan tegas mereka mengingatkan bahawa gaya politik yang digunakan di Semenanjung tidak mempunyai tempat di negeri seberang Laut Cina Selatan. Ringkasnya, mereka meminta ahli-ahli politik Semenanjung agar tidak mengganggu mereka.

Seorang ahli politik kanan di Sabah, Datuk Yahya Husin, mengingatkan kita bahawa di negerinya sesuatu yang biasa untuk bukan-Muslim memakai nama Melayu. Antara nama yang dikenali di Semenanjung adalah Datuk Seri Idris Jala yang beretnik Kelabit, beragama Kristian dan datang dari tanah tinggi Bario di utara Sarawak.

Ketika beliau mula dikenali di seluruh negara apabila dilantik menjadi CEO Malaysia Airlines (MAS), banyak yang menyangka beliau seorang Muslim kerana namanya yang berbau Melayu.

Menurut Yahya lagi, menjadi kebiasaan untuk orang bukan-Melayu di Sabah memakai songkok sebagai sebahagian daripada pakaian adat, seperti yang diamalkan di Paitan, sebuah kawasan pedalaman di timur laut negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri itu juga mengingatkan kita bahawa tidak semua orang yang bernama Muhammad di negeri beliau adalah seorang Muslim, manakala seseorang yang bernama David pula tidak semestinya seorang Kristian. Beliau secara peribadi mengenali beberapa orang yang mempunyai nama seperti Muslim tetapi sebenarnya beragama Kristian.

Ini adalah satu peringatan kepada sebahagian besar penduduk Semenanjung – tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain – bahawa kita tidak patut membuat andaian sembarangan dan melihat orang lain menerusi jalur perkauman yang sempit.

Banyak di kalangan kita, khususnya orang Cina, yang tidak mampu membezakan antara pakaian adat bagi sesuatu etnik dan pakaian keagamaan. Mereka mengandaikan orang yang memakai sarung atau songkok sebagai automatik beragama Islam.

Jika andaian seperti itu diterima, bererti orang Cina bukan-Muslim tidak harus memakai songkok sama sekali, termasuk dalam acara rasmi.

Sebahagian ahli politik menjadikan songkok sebagai satu isu, tetapi mereka tidak keberatan mengenakan penutup kepala itu ke istana untuk menerima anugerah. Inilah salah satu contoh bagi orang yang gemar mengambil kesempatan dan hipokrit.

Kita juga mengandaikan setiap orang yang rupanya seperti Melayu dan mempunyai nama Melayu adalah Muslim. Apabila kita melihat orang terbabit di gereja atau kuil, kita mengandaikan adanya usaha jahat untuk mengubah agama orang berkenaan.

Saya selalu juga melawat Sabah dan Sarawak dan sering merasa kagum dengan cara penduduk di kedua-dua negeri itu hidup bersama dan saling menghormati sesama mereka. Mereka tidak memiliki rasa kurang senang yang dimiliki oleh banyak orang Semenanjung.

Emak saudara saya – adik kepada ibu saya – mengahwini seorang Melayu Muslim dari Tawau. Suaminya yang berasal dari sebuah keluarga terkenal, adalah seorang yang berfikiran terbuka.

Setiap kali suaminya melawat Pulau Pinang dan menginap di rumah ibu-bapa saya, kami memastikan keperluan makan-minumnya terjaga. Tetapi beliau sendiri tidak pernah cerewet dengan peralatan yang kami gunakan untuk memasak dan menghidangkan makanan. Seperti banyak orang Sabah yang lain, beliau tidak kisah minum kopi bersama kami di kedai kopi biasa.

Begitu juga halnya dengan orang Sarawak.

Saya bertuah kerana mempunyai banyak kawan, rakan sekerja, dan anggota keluarga dari kalangan Muslim yang masih melihat Malaysia dengan pandangan yang amat toleran, berbilang kaum dan berbilang agama.

Sikap banyak ahli politik yang gemar bermain dengan politik perkauman dan keagamaan membuatkan kita semakin ragu tentang masa depan Malaysia. Mereka ini menggunakan pendekatan yang memecah-belahkan dan tampak gembira melihat terbinanya tembok yang memisahkan rakyat Malaysia.

Untung masih ada banyak rakyat biasa di sekeliling kita yang masih yakin dengan negara ini. Akhirnya nanti, rakyat Malaysia yang biasa inilah yang akan memainkan peranan penting.

Adakalanya suara yang waras muncul dari sumber yang tidak diduga. Ketika ahli-ahli politik kita bertikam lidah tentang isu kalimah Allah, sama ada keputusan tentangnya juga akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak atau hanya membabitkan mingguan Herald, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tampil menjelaskan kekeliruan.

Ketua Menteri Sarawak itu bukan seorang ahli politik yang disenangi semua orang di Malaysia, tetapi beliau telah berjaya meraih undi untuk Barisan Nasional dan mengekalkan negerinya sebagai negeri selamat untuk kerajaan persekutuan.

Hakikat itu membuatkan kata-katanya diambil berat.

Kata Taib, “isu Allah antara Muslim dan Kristian di Semenanjung Malaysia tidak menjejaskan penduduk Sarawak kerana kami adalah orang yang bertolak-ansur.”

“Bagi kami (rakyat Sarawak), tiada isu. Kami telah tinggal bersama pelbagai kaum dan agama selama puluhan tahun, malah sebelum Malaysia wujud lagi,” ujar Taib dalam kenyataan umum beliau yang pertama sejak Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh Herald.

Untuk menghapuskan keraguan, Taib – adakalanya dicap sebagai seorang diktator oleh para pengkritiknya – mengisytiharkan bahawa keputusan itu tidak mengikat Sabah dan Sarawak.

Ya, beliau turut bercakap bagi pihak Sabah.

Taib mengaku secara terbuka bahawa beliau telah mempelajari Bible dan mengambil ujian berkenaan kitab itu sebagai seorang pelajar. Menurutnya, “Saya sendiri belajar di sekolah Kristian dan tidak pernah merasa terganggu apabila orang membuat tanda salib, kerana itu adalah agama mereka dan cara mereka mengungkapkan penghormatan kepada Tuhan. Saya boleh memahami perkara itu.”

Menurut Taib, beliau akan bertafakur dan melafazkan doanya menurut cara Muslim ketika rakan-rakan Kristiannya membuat tanda salib.

Pada tahun 2010, Taib juga telah membantah usaha menyekat Bible berbahasa Malaysia daripada dibawa masuk secara bebas ke Sarawak.

Beliau menyifatkan tindakan Menteri Dalam Negeri yang mengarahkan Bible berbahasa Malaysia dicetak dengan nombor siri sebagai “idea bodoh” yang tidak harus diterapkan kepada Sarawak. Beliau juga menganggap sekatan ke atas Al-Kitab sebagai tindakan tidak masuk akal.

Perlu disebutkan di sini bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memberi jaminan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan penggunaan kalimah Allah tidak dikuatkuasakan terhadap Kristian di Sabah dan Sarawak.

Menurut Najib, kandungan Perjanjian 10 Perkara yang diputuskan oleh kabinet berkenaan isu itu akan diterapkan untuk kedua-dua negeri tersebut.

Kita di Semenanjung ini harus merasa malu. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak, bah!

Artikel Lain