suria

Kedah: Bacaan Siapa Tepat?

Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak

BERBAKI kurang 48 jam sebelum hari pengundian Ahad ini, sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat masing-masing meletakkan keyakinan yang tinggi mengenai sokongan rakyat terhadap mereka.

Setelah hampir dua minggu tempoh berkempen sejak 20 April lalu, sebahagian besar daripada 1,041,068 jumlah pengundi di Kedah dilihat sudahpun membuat keputusan mengenai calon atau parti pilihan mereka.

Rata-rata mula menunjukkan sokongan mereka secara zahir dengan memenuhi pelbagai lokasi ceramah kelompok, pertemuan, majlis ramah mesra dan apa sahaja program yang dianjurkan parti-parti yang bertanding.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mengetuai jentera pilihan raya Pakatan Rakyat di Kedah menzahirkan keyakinannya bahawa negeri 'jelapang padi' itu akan kekal di tangan mereka.

Katanya berdasarkan bacaan di pusat daerah mengundi (PDM) dan unit pusat mengundi (UPU) di seluruh negeri menunjukkan peningkatan sokongan sama ada kepada PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Lebih meyakinkan katanya, sokongan pengundi Cina meningkat sehingga 70 peratus iaitu kira-kira 159,387 pengundi atau 15.31 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Kedah.

"Paling mengagumkan ialah sokongan orang Cina meningkat daripada bacaan awal kita iaitu sebanyak 40 peratus kepada kira-kira 60 sehingga 70 peratus," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon di sini.

Menurut Azizan yang juga Pesuruhajaya PAS Kedah, perkiraan mudah untuk Pakatan Rakyat kekal menguasai negeri itu ialah mereka perlu mengekalkan kemenangan di kerusi yang dimenangi pada PRU 2008.

Malah katanya, jika gabungan PAS-PKR-DAP masing-masing berjaya menambah satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lagi, sudah pasti mereka berjaya memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga.

Tambah Azizan, beliau yakin 'undi protes' terhadap BN yang berlaku dalam tsunami politik 2008 tidak akan berganjak daripada terus bersama Pakatan Rakyat.

"Dulu orang tak tau apa kita buat, berlaku undi protes sebab orang tak suka BN.

"Tapi selepas lima tahun kita mentadbir negeri, semua perkara yang diandaikan negatif sebelum ini nampaknya tidak berlaku.

"Jadi rakyat sudah yakin, rakyat dapat menilai keseriusan kita," katanya.

Untuk rekod pada PRU 2008, PAS berjaya memenangi 16 kerusi DUN manakala PKR dan DAP masing-masing hanya lima dan satu kerusi.

Bagi PRU-13, Pakatan Rakyat Kedah mengekalkan status quo mereka apabila PAS diberi kepercayaan bertanding di 24 kerusi DUN sementara PKR dan DAP masing-masing sepuluh dan dua kerusi.

BN Optimis

Sementara itu Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah turut menyatakan keyakinan yang sama mengenai peluang parti itu untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri.

Malah beliau yakin BN akan melakukan kejutan dengan mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.

"Kami yakin akan menang majoriti dua pertiga di Kedah atas faktor cara kami bekerja, bergerak dan berjumpa pengundi," katanya.

Katanya jentera BN berjaya menembusi kembali beberapa kerusi yang selama ini menjadi kubu kuat BN namun terlepas ke tangan pembangkang pada 2008.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dan untuk menang majoriti dua pertiga, BN perlu menang di 24 kerusi manakala untuk menang mudah, sebanyak 19 kerusi diperlukan.

Bagi BN, selain mengekalkan kemenangan di kerusi selamat terutama di bahagian Kedah utara, tumpuan perlu terarah kepada lima kawasan Kedah selatan.

Hakikatnya, kawasan Kedah selatan yang merangkumi Merbok, Sungai Petani, Baling, Padang Serai dan Kulim Bandar-Baharu yang sebelum ini menjadi kubu kuat BN akhirnya kecundang pada PRU-12.

Kelima-lima kawasan berkenaan dimenangi pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen.

Lebih memburukkan ialah daripada 12 kerusi DUN yang dipertandingkan, BN hanya mampu menang di DUN Bayu dalam Parlimen Baling.

Pada 2008 BN hanya menang di 14 kerusi DUN.

Berdasarkan perkiraan di atas kertas, BN perlu membuat pertambahan lima kerusi bagi membolehkan mereka kembali berkuasa di Kedah.

Buat masa ini, beberapa DUN di Kedah selatan dilihat berpotensi untuk menyumbang kerusi kepada BN seperti Tanjong Dawai, Pantai Merdeka dan Merbau Pulas.

Pertambahan kerusi juga boleh berlaku di beberapa kawasan lain seperti DUN Ayer Hitam di Parlimen Jerlun, Bukit Lada (Pokok Sena), Kota Darul Aman (Alor Setar) dan Jeneri (Sik).

Pada tahap ini sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat, bacaan dan laporan tepat mengenai tahap sokongan pengundi adalah sangat penting terutama bagi menumpukan gerak kerja ke kawasan kelabu yang berpotensi untuk diputihkan.

BN sendiri sudah pasti perlu lebih berhati-hati mengenai laporan daripada PDM dan UPU masing-masing kerana kekalahan teruk mereka pada PRU 2008 berpunca daripada laporan yang salah mengenai situasi sebenar sokongan pengundi.

Artikel Lain