suria

2012 BERKUATKUASANYA AKTA PERSAINGAN

KUALA LUMPUR: Selamat datang tahun baru 2012 dan tanggal 1 Januari menandakan berkuatkuasanya Akta Persaingan 2010 untuk menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan perniagaan-perniagaan dan meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Malaysia merupakan negara Asean keempat untuk memperkenalkan peraturan spesifik dalam mengawalselia persaingan dan memastikan keadilan bagi semua pihak dalam sektor perniagaan selepas Indonesia and Thailand memperkenalkan perundangan serupa pada 1999, dan Singapura pada 2004.

Hari ini terdapat lebih 100 undang-undang persaingan di dunia, dengan yang pertama seumpamanya adalah undang-undang terkenal Sherman Anti-Trust Act yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada 1890.

Ramai pasti ingat saman sivil Amerika Syarikat lwn Microsoft yang difail di bawah undang-undang Sherman Antitrust Act atas tuduhan Microsoft Corporation menyalahgunakan kedudukan dominannya untuk menyingkirkan pesaing-pesaing dalam memasarkan tawaran-tawarannya.

Berbalik kepada Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudahpun mula mendapat perhatian apabila ia memaklumkan bahawa tugas pertamanya selepas undang-undang ini berkuatkuasa adalah untuk menyiasat sama ada terdapat elemen anti persaingan susulan kepada pertukaran saham antara Malaysian Airlines (MAS) dan AirAsia.

Bagaimanapun, dalam konteks semasa, Akta Persaingan 2010 menempatkan Malaysia setara dengan negara-negara maju lain di dunia.

Akta Persaingan ini dirumus bukan sahaja untuk menggalakkan pasaran berfungsi dengan cekap tetapi juga membawa manfaat besar kepada orang ramai yang akan menikmati harga produk serta perkhidmatan yang lebih kompetitif oleh kerana persaingan sihat.

CARA KERJA

Pengerusi MyCC, Tan Sri Norma Yaakob semasa satu ceramah anjuran Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) Malaysia menarik perhatian bahawa terdapat dua amalan utama yang dilarang oleh perundangan ini, iaitu perjanjian yang melarang persaingan dan salahguna kedudukan dominan.

"Akta ini sebenarnya bertujuan mempromosi persekitaran perniagaan yang kompetitif dan memberi keyakinan yang lebih lagi kepada pelabur asing tentang amalan perniagaan di negara ini.

"Yang paling utama adalah Akta ini akan mencakupi semua bentuk perniagaan, termasuk syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC)," katanya.

Beliau menekankan bahawa undang-undang ini bukan bertujuan mengekang perniagaan tetapi mewujudkan peluang saksama bagi penggiat-penggiat industri dan perniagaan.

Bagi pertubuhan tertentu beliau menjelaskan bahawa undang-undang perniagaan ini bukanlah sesuatu yang baru.

Syarikat Penerbangan Malaysia merupakan contoh baik di mana ia menangkis dengan jayanya dakwaan "tingkah laku anti persaingan" yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Eropah pada 2010.

Bagaimanapun 11 syarikat penerbangan lain tidak bernasib baik kerana pihak pemantau persaingan Eropah mengenakan denda berjumlah 800 juta euro (US$1.1 bilion) selepas mendapati mereka berkomplot menyelaraskan harga dalam perniagaan kargo mereka.

YANG BOLEH DAN TIDAK BOLEH

Di peringkat domestik, syarikat-syarikat perlu membiasakan diri dengan syarat Akta Persaingan serta perlu lebih berwaspada dalam cara mereka mengendalikan aktiviti masing-masing. Beliau berkata, ada baiknya jika proses dalaman, prosedur dan tingkah laku dikaji semula untuk memastikan kesemuanya berpadanan dengan syarat-syarat Akta itu.

Syarikat juga diminta mengkaji semula perjanjian-perjanjian sedia ada yang mungkin bercanggah dengan undang-undang ini. Adalah bagus untuk memperkenal program pematuhan syarat persaingan dalam sesebuah pertubuhan itu sendiri untuk menguruskan isu-isu ini dengan berkesan.

Lebih penting lagi, syarikat serta wakil-wakil mereka sentiasa perlu diingatkan yang mereka tidak boleh terbabit dalam perbincangan yang mungkin dianggap bersifat anti persaingan.

Ini akan membawa kepada komunikasi yang berkaitan dengan komplot untuk menetapkan harga, manupulasi pembidaan dan sebagainya.

"Ini juga sangat penting, kerana pencabulan terhadap Akta ini boleh menjejaskan operasi perniagaan syarikat selain kehilangan reputasi dan juga dikenakan denda berat sehingga 10 peratus daripada pendapatan seluruh dunia perusahaan itu," katanya.

"Akta Persaingan menyediakan asas baik bagi kita untuk bersaing di persada global. Bagi tahun 2011 usaha kami menunjukkan hasil," katanya lagi. Malaysia telah membaiki kedudukannya ke tangga ke 18 daripada tangga ke 23 dalam ranking Bank Dunia untuk tahun 2011 mengenai Betapa Mudah Menjalankan Perniagaan selepas pembaharuan yang diperkenalkan di bawah Model Ekonomi Baru, dan berada pada tangga kelima di kalangan semua ekonomi Asia Tenggara selepas Singapura, Hong Kong, Korea dan Thailand.

"Kita berjaya mengembalikan kedudukan ke tangga ke 21 dalam Indeks Daya Saing Global 2011 Forum Ekonomi Sedunia selepas merosot ke tangga ke 26 pada 2010," katanya.

PERANAN ICC

Sementara itu, Pengerusi ICC Malaysia, Tan Sri Yong Poh Kon menyatakan bahawa komplot menetapkan harga dan perkongsian penguasaan pasaran merupakan ciri lazim dunia perniagaan.

Sebelum ini sifat ini dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam sesebuah industri atau kumpulan perkhidmatan dengan rundingan dalaman dijalankan untuk menetapkan harga yang sama bagi barangan atau khidmat.

Bagaimanapun, undang-undang baru ini tidak membenarkan amalan seperti ini.

Oleh kerana itu syarikat-syarikat perlu menjajarkan semula perniagaan masing-masing untuk memenuhi permintaan Akta ini.

ICC Malaysia juga telah menggorak langkah dalam mendidik masyarakat perniagaan akan mengapa Akta Persaingan ini penting dan bagaimana ia berhubungkait dengan hakcipta, paten dan capniaga.

ICC menggunakan pendekatan psikologi dalam memberi penjelasan akan bidang-bidang perundangan ini sehinggakan ia turut memberi penjelasan dalam bentuk kartun supaya lebih menarik dan mudah difahami.

Seiring dengan rakyat Malaysia mengorak langkah ke tahun 2012, eloklah kita tunggu dan lihat bagaimana perniagaan-perniagaan menerima undang-undang baru ini serta bagaimana suruhanjaya ini memainkan peranannya sebagai pengawalselia persaingan.

Artikel Lain