suria

Kulit Durian Boleh Diguna Sebagai Penyerap Minyak

KUALA LUMPUR: Ramai yang mengetahui bahawa durian adalah buah yang diminati oleh kebanyakan penduduk di Asia, tapi tidak ramai yang tahu kegunaan kulit buah yang dikenali sebagai raja buah itu.

Buah yang mempunyai isi yang lazat dan kulit berduri dengan bau semerbak itu didapati mempunyai satu lagi kegunaan iaitu kulitnya boleh dijadikan penyerap minyak.

Perkara itu diperoleh hasil penyelidikan inovatif Universiti Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

Pensyarah Jabatan Bioteknologi, Fakulti Sains Gunaan AIMST Dr S Kathiresan berkata kulit durian, yang biasanya dibuang, boleh diguna untuk membuang minyak daripada air.

"Keputusan yang diperoleh pada skala makmal menunjukkan bahawa secara kimia kulit durian yang diubahsuai adalah penyerap yang berkesan untuk memulihkan air yang dicemari minyak," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bio penyerap boleh diguna untuk membersihkan tumpahan minyak di sepanjang pesisir pantai, yang boleh memudaratkan bukan sahaja hidupan laut tetapi juga aktiviti ekonomi kepada manusia.

"Biasanya, kaedah manual dan fizikal diguna untuk membersihkan tumpahan minyak di pesisir pantai. Oleh itu penggunaan sisa agro untuk pemulihan alam sekitar mempunyai potensi komersial yang besar berikutan keberkesanannya untuk menyerap minyak, kos yang sederhana dan biodegrasi," katanya.

Dr Kathiresan berkata kajian beliau mengenai perkara itu bermula dengan percubaan mudah iaitu mengumpul kulit durian dan membasuhnya beberapa kali dengan air paip untuk membuang kotoran.

Ia kemudian dipotong kecil sekitar lima hingga lapan sentimeter panjang dan dikeringkan di bawah cahaya matahari, sebelum dikisar menjadi serbuk.

"Kulit durian diubahsuai dengan pelbagai bahan kimia dan minyak untuk menghilangkan tumpahan minyak di larutan air," katanya.

Dr Kathiresan berkata asid lemak durian yang menjalani proses peremajaan juga boleh mengekalkan keberkesanan asalnya, untuk menyerap tumpahan minyak pada air sekurang-kurangnya untuk tiga kitaran.

Pada masa ini kos bahan tertentu yang diguna untuk membersihkan tumpahan minyak ialah sekitar AS$100 sekiloram.

Dr Kathiresan berkata beliau akan membentangkan kertas kajiannya bertajuk "Fatty Acid Modified Durian Peel As An Efficient Biosorbent For Removal of Spilled Oil on Aqueous Media" pada Kongres Kimia Asia ke-14 September ini di Bangkok.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain