suria

Islam Boleh Tangani Krisis Institusi Keluarga

KUALA LUMPUR: Keluarga ialah institusi penting yang menjadi teras dan tunjang pengukuhan sesebuah masyarakat.

Umpama tiang penegap sebuah rumah, andai goyah tiang, sekilas dilanda badai pasti rumah bukan sahaja tersungkur tetapi akan musnah. Sementelah punah keluarga, berkecailah nusa dan bangsa!

Gejala sosial termasuk penagihan najis dadah, minum arak, sumbang mahram, zina, keganasan rumah tangga serta pembuangan bayi yang semakin banyak dilaporkan tidak mustahil bertukar menjadi lumrah kehidupan masyarakat akhir zaman jika ia tidak ditangani dengan bijak mulai daripada sekarang.

Justeru di tengah-tengah fenomena yang dibimbangi akan terus mencemar kesucian insitusi keluarga Islam negara, pendekatan agama dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani kemelut gejala sosial sebelum "retak menjadi belah" dan "sebelum nasi menjadi bubur".

FAHAMI ISLAM

"Umat Islam perlu diberi kefahaman apa dia Islam yang sebenarnya. Kita dulu faham Islam sebagai Ad'din iaitu cara hidup tetapi kita perlu sedar cara hidup itu meliputi pelbagai aspek bukan setakat solat dan puasa sahaja.

"Ada orang bersolat tetapi dia tidak faham falsafah solat dan apa matlamat solat. Dia buat lebih kerana budaya kerana cetek ilmu. Hal yang sama dengan puasa dan ibadat haji.

"Begitu juga membaca Quran. Kita membaca bertaranum, bertajwid lepas itu menghafal tetapi kita tidak mengkaji Quran untuk mengambil panduan daripadanya," demikian menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam wawancara dengan Bernama di pejabat IKIM di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, ada juga umat Islam yang melihat Islam itu dalam petak yang sempit dan tidak melihat kerja lain yang mereka lakukan sebagai satu ibadat.

"Ini jelas menunjukkan pemahaman agama mereka kurang sedangkan walaupun kita tidak berpendidikan tinggi dan hanya bekerja di kilang atau sebagai tukang kebun, itu juga dikira ibadat,"kata Nik Mustapha.

MENYUSUN MASYARAKAT

Nik Mustapha menekankan bahawa agama Islam sebenarnya berperanan menyusun kehidupan manusia baik di peringkat individu dan masyarakat.

Pada dasarnya, kata beliau, dalam organisasi masyarakat, apa yang diperlukan ialah mewujudkan sebuah masyarakat yang berperadaban, serba berkemajuan, hidupnya aman serta mendukung keluhuran undang-undang.

"Bayangkan jika tidak ada peraturan jalan raya, jika lampu trafik rosak. Huru hara akan berlaku. Ini bermakna mesti ada peraturan.

"Dalam masa yang sama hidup kita mesti ada keceriaan, hobi, rekreasi kerana semuanya itu ialah sebahagian daripada keperluan hidup. Kalau kita memahami semuanya itu, barulah nampak hidup ini luas dan semua aspek kehidupan itu agama," jelas beliau.

Nik Mustapha turut menekankan bahawa di dalam AlQuran ada menyebut bahawa semua amalan umat Islam di dunia walaupun sebesar zarah akan dihitung pada hari akhirat.

"Segala yang kita lakukan kerana Allah akan dikira sebagai ibadat,"tambahnya.

KEMELUT PERADABAN

Kemelut yang mengacau-bilaukan masyarakat hari ini lebih kepada kemelut peradaban bukan kemelut ekonomi, demikian pandangan Nik Mustapha.

Beliau merujuk kepada keadaan ekonomi Barat yang disandarkan kepada ideologi yang bercanggah dengan tabiat kemanusiaan, kehidupan masyarakat yang menganjurkan kepada kewujudan masyarakat yang 'permissive', bebas tanpa institusi keluarga yang sempurna.

"Macam mana tamaddun Barat tak runtuh. Kehidupan mereka banyak kepincangan, perkahwinan mereka tolak. Berkahwin tidak mempunyai erti bagi mereka kerana kalau pun berkahwin, ada pasangan yang masih mengamalkan pergaulan bebas dengan lelaki atau perempuan lain.

"Akhirnya ramai yang memilih untuk bersekedudukan, tidak ada ikatan perkahwinan," jelas Nik Mustapha.

Menurut beliau, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di dunia Barat dan membina kembali peradaban baru dengan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.

"Dengan cara ini barulah kita dapat mengurangkan kerenah atau gejala sosial,"katanya.

MENJADI RAPUH

Tekanan hidup dilihat sebagai antara faktor yang membuatkan institusi keluarga menjadi rapuh. Tekanan hidup yang semakin hebat juga mendorong sesetengah orang membunuh diri!

Mereka yang menghuni kota metropolitan Kuala Lumpur umpamanya bergelut dengan tekanan hidupnya amat hebat.

Kos sara hidup begitu tinggi memaksa sesetengah warga kota terutama yang berpendapatan rendah melakukan lebih satu pekerjaan.

"Lepas balik pukul lima, keluar balik kerja lagi sampai jauh malam semata-mata untuk membiayai keperluan hidup dan isteri juga turut terpaksa keluar bekerja. Di mana masa untuk anak-anak?

"Kita bercakap tentang kemuliaan hidup dunia dan akhirat. Macam mana hendak mulia kalau nak makan pun tak ada, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kemuliaan di dunia termasuk aspek ekonomi," jelas Nik Mustapha.

Beliau turut menyentuh aspek keselamatan yang banyak menggugat kesejahteraan hidup masyarakat hari ini.

"Aspek keselamatan juga penting. Kita merasa selamat di mana sahaja kita berada. Hendak pergi ke mana-mana jam tiga pagi rasa selamat. Nak berjalan bawa beg selamat. Ini bawa beg kena kepit, takut diragut. Ini bukan sebuah masyarakat yang berperadaban.

"Mengapa berlaku ragut? Sebab tak ada kerja. Jadi kena fikir. Sebab itu dalam Islam harta mesti mengalir. Dasar Kewangan mesti mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menghapuskan kemiskinan. Sistem pendidikan juga perlu mampu menambah nilai kepada pekerjaan seseorang,"tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sistem penyusunan masyarakat yang tidak bersandarkan kepada nilai keadilan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat sudah tentu akan melahirkan banyak kepincangan.

"Hatta akan berlaku penindasan dan mencetuskan tahap kemiskinan yang begitu ketara. Sudah pasti kita tidak mungkin mencapai kemajuan ekonomi kerana maju mundurnya ekonomi seseorang individu atau sesebuah masyarakat ada kaitan dengan keadaan masyarakat.

"Di sinilah letaknya kepentingan institusi keluarga yang akan mempengaruhi kelakuan dan penyusunan sesebuah masyarakat," tambah Nik Mustapha.

TIDAK BOLEH BERGANTUNG

Dalam masa yang sama, Ketua Pengarah IKIM ini menegaskan beban menyediakan pekerjaan bukan semata-mata terletak di bahu pemerintah.

Rakyat juga, katanya tidak harus berterusan bergantung kepada bantuan subsidi kerajaan.

"Ada yang malas untuk mencari kerja sedangkan dalam Islam bekerja itu satu kefardhuan. Setiap daripada kita mesti bekerja dan tidak boleh bergantung kepada keringat orang lain.

"Contoh, kalau saya seorang suami, saya mesti menyediakan rumah untuk keluarga saya berteduh. Kalau pendapatan tidak mencukupi, saya perlu berazam untuk bekerja lebih kuat untuk kelangsungan hidup isteri dan anak-anak," katanya.

Di samping bekerja, menurut beliau, setiap individu perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran bagi menambah nilai kerja masing-masing.

"Kita bukan sahaja menyumbang kepada keperluan kita serta membiayai keperluan kita, kita juga menyumbang kepada keperluan orang lain. Kalau kita lakukan semua ini, kita nampak agama itu syumul, mencakupi semua isi kehidupan manusia," katanya.

PERLUNYA MENDIDIK

Beliau seterusnya menekankan bahawa pendekatan utama yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan ialah sistem pendidikan supaya umat Islam dapat melihat Islam ialah agama yang menjana peradaban.

Undang-undang Islam atau hukuman, katanya, boleh dilaksanakan selepas pendekatan untuk mendidik dalam menyusun masyarakat diambil.

"Mengapa berlaku pembuangan bayi? Mungkin terlanjur, pekerjaan tak ada, kos sara hidup tinggi. Mengapa berlaku perzinaan? Mungkin hendak kahwin pun susah.

"Mana Rasulullah SAW seronok ketika wanita datang mengakui dia berzina. Nabi berkata lahirkan anak dulu, besarkan anak dulu," kata Nik Mustapha.

Menurut beliau, natijahnya, pertama, umat Islam perlu memberi tumpuan kepada mengamalkan panduan hidup yang tepat dengan membetulkan pandangan hidup yang ada menerusi pendidikan.

Di samping itu, katanya umat Islam perlu meningkatkan amalan kelakuan dan akhlak yang baik, menguasai kemahiran hidup serta menanam minat bekerja semoga setiap individu mampu menyumbang kepada kemajuan dan kebajikan masyarakat.

TIDAK MUDAH

Apa juga penyelesaian kepada masalah semestinya tidak mudah dan tidak ada jalan pintas.

Begitu juga jika dalam soal membangun dan menyusun sebuah masyarakat apatah lagi jika dalam masyarakat itu sudah ada bibit-bibit keretakan.

Nik Mustapha tegas menyatakan: "Keutamaan misi Islam ialah hendak membina masyarakat yang berperadaban. Ini tidak mudah dan ia menuntut kita menutup semua pintu kelemahan ahli masyarakat.

"Salah satu pintu ini ialah budaya hidup bebas, pergaulan bebas dan perhubungan bebas. Pendekatan tentang hukum minum arak juga perlu diteruskan dan kemudahan mendapat arak ini mesti ditutup."

Dalam masa yang sama beliau berkata media cetak dan elektronik perlu berperanan untuk membantu kerajaan dalam menyusun masyarakat Islam yang dilanda pelbagai kekalutan.

Menurut beliau, ada sesetengah media yang gemar menonjolkan artis yang berpakaian tidak senonoh dan artis ini pula menjadi idola.

Ada juga media cetak yang terlalu mensensasikan perkara yang disifatkannya sebagai 'mengarut' dan setakat mahu menjual akhbar.

"Filem atau drama Melayu pula memaparkan kehidupan mewah, dunia korporat, rumah agam, cerita berunsur mistik, keluarga yang berantakan. Bandingkan dengan cerita Korea yang berkisar kepada hal keluarga yang membuat kita seronok menontonnya.

"Semuanya ini melemahkan masyarakat Melayu sebab mereka disogokkan dengan perkara-perkara yang begitu," kata Nik Mustapha.

PERANAN MASJID

Di samping itu, beliau turut mencadangkan supaya pengurusan masjid memperluas peranan masjid dalam usaha menyusun peradaban masyarakat Islam.

Menurut beliau, di zaman Rasululullan SAW, baginda menggunakan masjid sebagai pusat pemerintahan, tempat perhimpunan dan perbincangan di mana kemudiannya wujudlah sebuah masyarakat yang mempunyai peraturan dan sistem.

"Fungsi masjid perlu diperluas. Masjid boleh berfungsi untuk memberi panduan dan maklumat kehidupan untuk masyarakat, umpamanya mengenai soal berhubung pemakanan, kesihatan dan menjadi pusat riadah, sukan dan seni mempertahankan diri.

"Kita perlu menggunakan pendekatan kreatif untuk menarik masyarakat termasuk golongan muda untuk ke masjid. Mereka yang merempit itu mungkin kerana kurang aktiviti riadah," tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain