suria

Jaga Buah Pinggang Anda - Kawal Diabetes

PETALING JAYA: Lebih kurang satu dalam 10 warga dewasa di seluruh dunia mengalami masalah tertentu buah pinggang dan berjuta-juta orang mati setiap tahun kerana kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes.

Kegagalan buah pinggang atau ginjal merupakan peringkat akhir penyakit buah pinggang kronik (CKD), satu masalah serius dengan ginjal tidak lagi mampu melupuskan sisa perkumuhan daripada tubuh.

CKD berlaku apabila individu mengalami kehadiran albumin dalam kencing atau kemerosotan ketara dalam fungsi buah pinggang.

Di Malaysia lebih 3,500 orang mengalami kegagalan peringkat akhir buah pinggang setiap tahun, menyebabkan bilangan mereka yang memerlukan dialisis meningkat.

Menurut Presiden of Pertubuhan Malaysia bagi Nefrologi (MSN) Dr Philip N. Jeremiah, CKD berlaku pada lapan hingga 10 peratus daripada populasi dan buat masa ini bilangan mereka yang memerlukan dialisis di Malaysia meningkat 5 hingga 7 peratus setiap tahun.

Ini sebahagiannya disebabkan oleh diabetes dan hipertensi, yang meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.

PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Menurut Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), punca lazim CKD termasuk penyakit-penyakit inflamatori buah pinggang yang disebabkan oleh jangkitan, halangan pada saluran kencing dan penyakit diwarisi seperti `polycystic' buah pinggang.

Di negara-negara membangun dan maju, diabetes dan hipertensi semakin menjadi punca CKD, khususnya dalam kalangan mereka yang berusia.

Jikapun diabetes tidak terkawal, penyakit itu boleh membawa kepada CKD dan kegagalan fungsi ginjal.

Sebenarnya, 55 peratus daripada kegagalan buah pinggang peringkat lanjut adalah kerana diabetes dan jika tidak dikesan awal dan dirawat ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi ginjal serta kematian.

Mereka dengan kegagalan fungsi ginjal sama ada menjalani pembersihan darah menggunakan peralatan (dialisis) atau pemindahan organ untuk menerima buah pinggang sihat daripada penderma.

Bagaimanapun, memandangkan peluang untuk mendapatkan buah pinggang daripada penderma adalah amat terhad, majoriti pesakit buah pinggang memilih untuk menjalani haemodialisis atau dialisis peritoneal.

PENGESANAN AWAL PENTING

Pengesanan awal penting memandangkan ini boleh melewatkan perkembangan penyakit buah pinggang dan komplikasi yang berkaitan dengannya, demikian dijelaskan oleh pengerusi lembaga pengurus NKF Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher.

Buat masa ini, Malaysia mempunyai 20,000 pesakit dialisis dan memandangkan kos dialisis yang mahal, kerajaan mensubsidi kos bagi pesakit yang tidak berkemampuan. Di Malaysia, 55 peratus daripada kesemua pesakit dialisis baru adalah penghidap diabetes dan oleh itu hasil dialisis pada mereka ini tidaklah begitu baik.

Malangnya, diabetes, khasnya diabetes Type 2, mungkin tidak dapat dikesan walaupun ia telah lama wujud pada seseorang.

Sepanjang masa ini, paras gula darah yang tidak terkawal mungkin merosakkan tisu serta organ seperti saluran darah, mata dan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang berkembang dengan perlahan-lahan dan simptom hanya muncul di peringkat lewat.

Jika dapat dikesan awal, individu berkenaan boleh dirawat awal dan kemerosotan fungsi ginjal dapat dicegah atau dihentikan di peringkat awal lagi. Ini boleh mencegah atau melewatkan keperluan bagi dialisis.

Oleh itu, satu daripada langkah penting bagi pencegahan penyakit-penyakit berkaitan dengan diabetes menggalakkan semua warga Malaysia yang berisiko tinggi terhadap diabetes menjalani ujian saringan kesihatan yang mudah seperti ujian kencing dan darah.

HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA (WKD2010)

Dr Zaki berkata walaupun NKF mempunyai 23 pusat dialisis di seluruh negara, ia tidak lagi tertumpu pada dialisis sahaja memandangkan pendidikan awam memainkan peranan penting dalam pengesanan awal dan pencegahan penyakit buah pinggang.

Lagipun, pesakit juga perlu diberi tunjuk ajar akan pilihan rawatan untuk membolehkan mereka membuat keputusan secara arif akan pelan rawatan berdasarkan kepada keadaan dan gaya hidup mereka, katanya.

Tujuan utama sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 (WKD 2010) tahun ini ialah untuk menggalakkan pentingnya pengesanan awal serta pencegahan penyakit buah pinggang dan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan bagi penyakit buah pinggang menerusi saringan kesihatan yang mudah.

WKD 2010 akan diraikan bagi tahun kelima pada 11 Mac di lebih 100 negara di seluruh dunia.

WKD merupakan kempen kesedaran kesihatan global yang menumpukan pada usaha memulihara ginjal dengan menyeru orang ramai supaya menjalani pemeriksaan untuk mengetahui sama ada mereka berisiko tinggi terhadap penyakit buah pinggang.

Di Malaysia, NKF dengan gandingan MSN dan Kementerian Kesihatan telah mengatur satu siri acara dan aktiviti.

Tema bagi WKD 2010 ialah "Jaga Buah Pinggang Anda-Kawal Diabetes" (Protect Your Kidneys - Control Diabetes). Ini merupakan peringatan penting bagi semua, memandangkan diabetes ialah punca utama CKD di seluruh dunia.

SARINGAN KESIHATAN

Tahun ini, kempen ini diharap dapat meningkatkan kesedaran mengapa penting mengawal diabetes dalam mencegah CKD.

"Satu daripada punca utama diabetes ialah gaya hidup kurang sihat dan amalan pemakanan tidak baik. Tujuan kami ialah untuk mendidik dan memaklumkan orang ramai supaya mengambil langkah pertama dalam mengubah gaya hidup dan amalan pemakanan mereka.

"Kami percaya pemeriksaan kesihatan semasa WKD 2010 merupakan langkah pertama bagi semua warga Malaysia memantau kesihatan mereka," kata Dr Zaki apabila ditemui selepas persidangan berita bersempena WKD 2010.

Unit Bergerak Saringan Kesihatan LifeCheck NKF, yang terdiri daripada sebuah bas yang diubah suai dengan tujuh stesen kerja di dalamnya, akan digunakan bagi kempen serta saringan kesihatan secara percuma bagi orang ramai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Sehingga hari ini, NKF menyaring 62,000 orang awam dan lebih 10 peratus daripada mereka menunjukkan keabnormalan dalam sampel darah dan kencing mereka.

Duta baru kempen NKF, Chef selibriti, Datuk Chef Wan juga akan turut serta dalam kempen dengan mengadakan demonstrasi masakan untuk menyampaikan mesej berhubung tabiat pemakanan sihat.

Banyak hospital utama di seluruh negara akan menjalankan pelbagai aktiviti sempena WKD. Ini termasuk pameran poster, saringan kesihatan dan forum-forum awam.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut aktiviti NKF dan WKD 2010 boleh menghubungi hotline NKF di 1300-88-3110 atau layari www.nkf.org.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain