suria

Malaysia kini punya 'penderiaan' kawalan jauh di angkasa lepas

KUALA LUMPUR: Sejak dilancarkan pada 14 Julai lalu, RazakSAT memainkan peranannya sebagai Satelit Penderiaan Kawalan Jauh negara yang pertama dan berupaya menghantar imej mengenai maklumat geografi ke Pusat Angkasa Negara (ANGKASA) di Sungai Lang, Banting.

Keupayaannya terbukti apabila selepas seminggu dilancarkan, satelit itu berjaya menghantar imej pertamanya ke ANGKASA.

Kini sudah masuk bulan ketiga satelit pertama negara yang dibangunkan oleh anak tempatan itu beroperasi. RazakSAT beroperasi secara penderiaan kawalan jauh untuk membekalkan maklumat geografi, perkhidmatan pemetaan, pengesanan pembalakan haram dan untuk aktiviti pertanian.

Imej ini sekaligus dapat digunakan bagi pengurusan tanah, pemantauan galian dan perlombongan, perhutanan, pemantauan teluk dan perairan serta juga bidang yang bermanfaat untuk negara.

USAHA KUASAI TEKNOLOGI ANGKASA

Satelit Penderian Kawalan Jauh Malaysia ini, yang dilancarkan di Kwajalein Atoll, Kepulauan Lautan Pasifik, dibangunkan untuk menghasilkan imej beresolusi tinggi dari angkasa lepas ke bumi dalam usaha meningkatkan keupayaan negara menguasai teknologi angkasa lepas.

Negara sebelum ini banyak bergantung kepada gambar yang dihantar satelit penderiaan kawal jauh yang disediakan oleh Satellite Operating Agencies (SOAS).

RazakSAT dijangka dapat meningkatkan keupayaan Malaysia dalam aspek ini.

Tambahan pula, ia agak unik kerana satelit yang dinamakan sempena nama Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu diletakkan di landasan terbaik bagi satelit bersaiz kecil.

Orbitnya yang berhampiran dengan garis Khatulistiwa menyebabkan ia berupaya mendapatkan imbasan imej enam kali ganda lebih baik. Ia akan mengorbit Near Equator Orbit (NEqO) pada altitud nominal 685 km. Lokasi orbit akan membolehkan peningkatan kekerapan pemerhatian imej permukaan bumi dan alam sekitar.

RazakSAT membawa kamera resolusi tinggi yang akan merakam imej dari angkasa lepas untuk pelbagai aplikasi seperti pertanian, memeta landskap, pencegahan bencana, rancangan rangkaian jalan dan bandar dan boleh digunakan untuk mengkaji pelbagai fenomena meteorologikal.

Dengan kos keseluruhan bagi pembinaan dan pelancaran berjumlah RM150 juta, RazakSAT bukan sahaja memberi manfaat kepada negara tetapi juga kepada negara-negara di sepanjang kawasan Khatulistiwa.

BUKTI KEUPAYAAN SYARIKAT TEMPATAN

RazakSAT dibina oleh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB), iaitu syarikat peneraju dalam pembangunan satelit Malaysia.

ATSB turut bertanggungjawab ke atas pembinaan Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia dan penyediaan operasi mikro satelit negara yang pertama, TiungSAT-1.

Satelit seberat 180kg itu direka, dibangun, dibina dan diuji secara tempatan dan ia juga satelit penderiaan jauh pertama yang akan mengorbit Khatulistiwa.

Ketika RazakSAT berjaya menghantar imej pertamanya Julai lalu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof berkata satelit berkenaan dijangka merakamkan imej yang lebih baik dalam tempoh tiga bulan lagi selepas melalui proses penyesuaian kamera dan alat kawalan jauh untuk komunikasi yang lebih berkesan.

Katanya RazakSAT berkeupayaan mengelilingi orbit Khatulistiwa sebanyak 14 kali sehari dengan rakaman imej yang baik sebanyak enam kali.

"Kita kena perhalusi lagi supaya kita akan dapat imej yang lebih baik," beliau dilaporkan berkata demikian setibanya pasukan RazakSAT dari Guam dan Kwajalein, Kepulauan Marshall di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) selepas pelancaran RazakSAT.

Satelit itu akan digunakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selain Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Remote Sensing Malaysia.

"Kami juga diberitahu ada 14 negara yang berminat untuk berkongsi dan mengambil imej dari negara kita seperti beberapa negara dari Amerika Selatan, Eropah, Asia Tenggara serta juga Afrika Selatan dan Jepun.

"Kelebihannya, ia merupakan satelit pertama yang berada dekat dengan Khatulistiwa dan akan dapat membantu kita dalam ramalan kaji cuaca yang akan digunakan oleh Jabatan Meteorologi selain pemetaan, keselamatan, pertanian, perikanan," katanya.

Kejayaan RazakSAT membuktikan bahawa kepakaran tempatan juga mampu menguasai teknologi angkasa serta bersaing menempatkan diri dalam kepesatan industri teknologi angkasa.

JULANG NAMA MALAYSIA

ATSB ditubuhkan bagi pengkhususan pada kaji selidik dan pembangunan di dalam bidang rekaan dan pembangunan sistem kelayakan angkasa yang menggunakan teknologi maju dan inovatif.

Sebagai perintis dan pemimpin dalam bidang satelit-mikro di Malaysia, ATSB telah mencapai pelbagai kejayaan dalam masa yang singkat. Ini termasuk membangun, membina, melancar dan mengoperasi satelit-mikro Malaysia yang pertama, TiungSAT-1.

Pengalaman dan pengetahuan itu telah digunakan untuk pembangunan satelit-mikro kedua Malaysia, RazakSAT, dan juga memangkin program intensif teknologi tinggi di Malaysia.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fungsi dan perkhidmatannya, mereka boleh layari http://www.atsb.my. BERNAMA

Artikel Lain