suria

James Chau: Selebriti TV yang `berhati emas'

JAMES Chau, 31, ialah seorang selebriti dan pertama kali muncul di skrin televisyen melalui program kanak-kanak di Britain dalam usia sembilan tahun.

Dengan kariernya sekarang sebagai penyampai televisyen, beliau membuat rakaman kira-kira 15 program seminggu.

Program berita dan bisnesnya yang disiar menerusi rangkaian bahasa Inggeris dan saluran berita 24 jam, China Central Television, CCTV9, ditonton lebih 80 negara.

Menceritakan jadualnya yang sibuk, kata Chau: "Segalanya bergantung kepada penjadualan program televisyen saya, yang berubah setiap minggu. Ada masanya saya akan ke udara pada awal pagi, ada kala petang, dan ada juga ketikanya saya berada di studio sehingga pukul 4 pagi untuk syif malam."

Buat Chau, karier televisyen ialah keutamaan nombor satu. Bagaimanapun, di sebalik beban kerjanya, Chau, mempunyai satu lagi nyalarasa iaitu memperjuang isu berkaitan HIV dan AIDS.

Dan untuk memenuhi komitmen nyalarasa ini, kata Chau beliau 'perlu memperuntukkan masa'.

"Apa yang saya lakukan ini cukup memberi saya perangsang dan dorongan ketika saya hampir berputus asa. Kita tak punya banyak masa untuk hidup. Mungkin lapan puluh tahun, jika kita bernasib baik? Mungkin 60? Atau tak sampai 20? Jadi, kita perlu bingkas bangun dari tidur setiap pagi dan menggunakan peluang untuk hidup sehari lagi dengan sebaikbaiknya," katanya.

HIV DAN AIDS

Selebriti televisyen ini menjadi aktivis HIV dan AIDS sejak lebih lima tahun lalu.

Memandangkan masa luangnya yang terhad, Chau menjadikan laman webnya www.jameschau.com sebagai wadah untuk sesiapa sahaja, antaranya mendapatkan maklumat yang berguna dan boleh dipercayai mengenai HIV dan AIDS.

Laman webnya juga mempunyai pautan dengan lamanlaman web AIDS yang lain dan beliau juga membuka dua akaun di Twitter dan Facebook.

"Diharapkan menerusi media digital ini, saya dapat berinteraksi dengan anakanak muda, untuk bercakap dengan mereka mengenai HIV dan AIDS dan untuk mereka mengutarakan soalan," katanya.

Melalui skrin televisyen atau di luar skrin, Chau menjalin kerjasama dengan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UN) untuk menentang stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV dan AIDS (OHH).

Usaha baktinya memperjuang isu HIV dan AIDs membawanya ke India, Thailand dan China. Chau ialah seorang daripada 40 aktivis kesihatan yang diberi penghormatan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda di Google, California.

Beliau juga terbabit sebagai anggota kumpula kerja inisiatif aids2031, yang disokong UN, American Foundation for AIDS Research (amfAR), serta Bill and Melinda Gates Foundation.

Chau yang pernah tinggal selama 22 tahun di London adalah juga Pemimpin Media di World Economic Forum (WEF).

"Sebagai wartawan, pada saya, adalah sesuatu yang lumrah untuk mempunyai minat dalam semua perkara di dalam dunia ini. Saya mempunyai minat besar dalam bidang berita, politik, seni bina, seni dan muzik.

"Daripada semua ini, yang banyak sekali membuatkan saya ingin tahu ialah tentang manusia dan hubungan manusia yang kompleks," kata Chau yang juga siswazah Cambridge University.

Penulis bertemu dengan Chau ketika menghadiri Seminar dua hari Pemimpin Media mengenai HIV dan AIDS di Beijing pada 2324 April, anjuran Asia Pacific Leadership Forum on HIV /AIDS and Development (APLF).

Chau yang datuknya (sebelah ibu) pernah tinggal di Malaysia, diundang untuk bercakap serta berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai isu HIV dan AIDS. Wawancara berikutnya dibuat menerusi emel.

BILA BERMULA

Chau menjadi aktivis HIV dan AIDS secara "tidak sengaja."

Pada 2003, beliau diminta membuat liputan isu pandemik global SARS (Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk) di empat buat lokasi, iaitu Hong Kong, Bangkok, Kuala Lumpur dan Geneva (menyertai rombongan Naib Perdana Menteri China Wu Yi ke Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

Tugasan itu, kata Chau, bagaikan 'kursus mendadak' buatnya dalam bidang kesihatan awam dan penyakit berjangkit.

Chau yang ketika itu berusia 24 tahun, menceritakan bahawa beliau tidak memikirkan sangat tentang risiko terdedah kepada virus yang berbahaya itu. Katanya yang lebih bimbang ialah ibu bapa dan adik lelakinya memandangkan beliau berjumpa dengan ramai orang dalam melaksanakan tugasnya.

Beliau masih ingat betapa gemparnya keadaan ketika dunia dilanda SARS, lebihlebih lagi mereka yang dijangkiti penyakit 'misteri' itu yang dihimpit perasaan takut dan cemas.

"Serupa juga dengan HIV dan AIDS meskipun ia bukan lagi baru dan satu misteri tetapi prejudis terhadap mereka yang menghidapnya amat memeranjatkan.

"Sepanjang karier kewartawanan saya, saya dapat mengenali ramai orang di PBB dan saya bertanya kepada mereka apa yang saya boleh bantu. Apalah gunanya menjadi 'orang yang dikenali ramai' jika saya tidak dapat menggunakan kemahiran saya untuk berbakti kepada masyarakat?

"Pada mulanya, saya fikirkan saya perlu membuat siaran akhbar atau memberi latihan media tetapi mereka di PBB mahukan saya berjumpa orang yang menghidap HIV dan AIDS. Begitulah mulanya saya terbabit dengan isu ini, boleh dikatakan secara tak sengaja," katanya.

NAFAS BARU

Menurut Chau, ramai yang mengaitkan HIV dan AIDS dengan proses 'menuju kematian' tetapi buat dirinya, ia mengajar beliau untuk hidup dengan lebih baik.

Personaliti tv ini, yang turut mengakui beliau ada kalanya mengalami kemurungan sehingga ke tahap beliau mahu melepaskan segala-galanya, berkata keadaan itu ada kebaikannya.

"Kemurungan saya menjadikan saya lebih bertekad untuk tidak mensiasiakan usia yang masih ada. Ia juga menjadikan saya lebih memahami bahawa kehidupan ini bukan sesuatu yang mudah bagi kita semua.

"Sebab itulah pembabitan saya dengan isuisu HIV dan AIDS memberi nafas baru dalam hidup saya, dan menjadikan saya lebih bertenaga. Saya telah melawat pusat ujian dan komuniti setinggan dari Thailand ke India. Semuanya ini telah merubah kehidupan serta pengharapan saya.

"Semasa saya di California tahun lalu, saya berkata perkara yang sama kepada Setiausah Agung Rendah PBB Peter Piot dan berterima kasih kepada beliau kerana membabitkan saya dengan program HIV dan AIDS. Semuanya ini telah menyelamatkan saya, seperti saya 'mati dan hidup semula' dan memberi saya sebab untuk meneruskan kehidupan," jelas Chau.

AMAT KECEWA

Namun ketika Chau berkejar dengan masa, antara tugas di televisyen dan pembabitan dalam program UN mengenai HIV dan AIDS, adakalanya beliau dilanda kekecewaan yang amat sangat. Sebelum ini beliau kecewa apabila orang tidak memahami isu HIV dan AIDs tetapi sekarang rasa kecewanya meningkat lebih kepada kerana ada pihak yang sengaja tidak mahu faham.

"Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan prejudis sama ada berdasarkan kaum, agama, seksualiti, jantina, kuasa ekonomi dan banyak lagi. Untuk HIV dan AIDS, stigma dan diskriminasi merangkumi semua perkara ini.

"Siapa yang hendak hidup dengan HIV dan AIDS? Memang penyakit 'fizikal'nya boleh diurus dengan perubatan antiretroviral yang membolehkan seseorang hidup lebih lama dengan lebih baik. Cuma, penyakit 'kedua' iaitu stigma dan diskriminasi yang sukar untuk dirawat.

"Tidak ada ubat ajaib boleh melindungi seseorang itu daripada katakata kesat, pandangan yang serong dan tingkah laku yang penuh diskriminasi. Untuk itu, setiap tutur kata dan tindakan kita dengan mereka perlulah dibuat secara berhatihati," jelas Chau.

Tambahnya, apabila bercakap dengan OHH, beliau semakin sedar bahawa segala rasa sangsi, bimbang, takut dan benci terhadap golongan ini hanya mendedahkan 'keburukan yang bersarang di jiwa manusia.'

"Mungkin apa yang saya katakan ini berbunyi pesimistik, tetapi secara perlahanlahan, kita boleh mengatasinya. Ia perlu dimulakan seseorang dan setiap daripada kita membuat komitmen kepada diri sendiri untuk menggunakan masa, selagi kita masih bernafas dengan sebaikbaik mungkin," katanya.

Prejudis, menurut Chau, berpunca daripada kurang maklumat.

Katanya, ia juga akibat kurang minat untuk belajar dan "kadang kala keadaan itu juga menunjukkan peribadi kita yang penuh dengan ketidakyakinan dan kesangsian, sehinggakan kita memaparkan tingkah laku yang tidak mempunyai perasaan."

AGENDA UTAMA

Chau yang menetap di Beijing sejak enam tahun lalu tegas berpendapat bahawa HIV dan AIDS perlu diberi keutamaan.

Setiap tahun, katanya, lebih daripada dua juta orang mati kerana penyakit yang berkait dengan AIDS, di mana ia lebih daripada semua epidemik selesema yang berlaku baru-baru ini. "HIV dan AIDS perlu berada di tangga teratas agenda kita kerana sebab yang mudah iaitu selepas 28 tahun kes pertama dikenal pasti, ia terus menjangkiti ibu, ayah, abang, kakak, adik dan anak-anak kita.

"Jika anda fikir, ia tak penting untuk anda, fikir sekali lagi. Ia bukan sahaja mengenai kesihatan yang baik, ia juga mengenai cara kehidupan kita," tegasnya.

Majlis Keselamatan BangsaBangsa Bersatu, kata Chau, dalam Resolusi 138 mengiktiraf bahawa pandemik berkenaan mempunyai impak pemusnah yang 'unik' ke atas masyarakat, yang turut jelas merupakan ancaman ke atas keselamatan dan kestabilan dunia hari ini.

Chau turut mempunyai pandangan tegas terhadap isu kesihatan awam dan beliau meluahkan pandangannya di WEF tahun lalu. "Kami diminta meluahkan apa yang kami fikir sebagai cabaran utama. Kebanyakan peserta bercakap mengenai perkara seperti krisis kewangan global tetapi saya bangun dan bercakap mengenai keperluan mendesak untuk menangani isu kesihatan awam," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain