suria

Kemeriahan kereta berhias 'Hari Vesak'

ESOK, para penganut agama Buddha akan merayakan hari Wesak. Hari tersebut cukup penting dan istimewa kerana ia melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung, dan Kewafatan pengasas agama Buddha, iaitu Gautama Buddha.

Menurut ensiklopedia bebas Wikipedia, Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Tinjauan mStar mendapati tokong Buddhist Maha Vihara (BMV) di Brickfields, Kuala Lumpur sibuk dengan pelbagai aktiviti pada sebelah petang tadi.

Kempen menderma darah diadakan di Dewan Asoka. Banyak gerai makanan dan minuman di samping didirikan di sepanjang Jalan Berhala. Pengemis-pengemis juga kelihatan mengambil posisi masing-masing untuk merayu sedekah.

Kerja-kerja mengecat bangunan masih dijalankan. Sami-sami membacakan doa untuk para penganut Buddha. Orang ramai mula membanjiri perkarangan tokong.

Seperti biasa, BMV akan menjadi lautan manusia. Orang ramai terutamanya khususnya penganut ajaran Buddha ingin menyembah Gautama Buddha yang telah memberikan `kesedaran' (enlightenment) kepada mereka.

Malam ini, upacara penyalaan lantera (tanglung) besar dan lampu pertama bakal berlangsung bagi menandakan sambutan Hari Wesak telah bermula.

Ini disusuli dengan aktiviti sami-sami mengepalai para penganut Buddha menyanyikan dikir agama Buddha seperti Gilampasa Buddha Puja dan Parittas.

PERARAKAN KERETA BERHIAS

Pada malam esok, satu perarakan kereta berhias Hari Wesak sejauh 12 kilometer yang memakan masa kira-kira empat jam akan diadakan. Beberapa jalan utama di sekitar ibukota ditutup mulai 7 malam esok secara berperingkat.

Perarakan tersebut melibatkan jalan-jalan seperti BMV - Jalan Sultan Abdul Samad - Jalan Tun Sambanthan - Jalan Petaling - Jalan Yap Ah Loy - Jalan Hang Lekiu - Jalan Gereja - Jalan Raja Chulan - Jalan Sultan Ismail - Jalan Bukit Bintang - Jalan Pudu - Jalan Tun Tan Cheng Lock - Jalan Tun Sambanthan - Jalan Sultan Abdul Samad dan balik ke BMV.

Pelik tetapi benar, hujan gerimis mengiringi setiap perarakan. Apa yang lebih menarik, penganut agama Buddha termasuk penulis ini yang pernah mengikuti perarakan dapat merasakan ketenangan jiwa dan rohani sewaktu dan selepas perarakan itu.

AMANAT KETUA SAMI

Ditanya mengenai amanat khas sempena Hari Wesak tersebut, Ketua Sami Buddha, K. Sri Dhammaratana yang ditemui berharap, orang ramai khususnya penganut agama Buddha mendukung Tisarana(Tiga Perlindungan: Buddha, Dhamma dan Sangha) untuk kesejahteraan hidup.

Berlindung kepada Buddha membawa maksud menyanjungi Buddha sebagai Guru Agung yang telah menunjukkan cara untuk memperolehi kedamaian dalam kehidupan.

Berlindung kepada Dhamma bermaksud keyakinan untuk mengamalkan ajaran Buddha bagi mendapat kedamaian dalam hidup iaitu Nibbana.

Berlindung kepada Sangha bermaksud mendapat sokongan serta menyokong sesama umat Buddha dalam mengamalkan ajaran Buddha.

"Saya berharap semua pemimpin agama dapat menyatupadukan para penganut agama masing-masing agar dapat sama-sama mengekalkan keharmonian serta menyebarkan keamanan ke seluruh dunia," kata Dhammaratana.

Amanat tersebut amat bererti bagi penulis, kerana keharmonian kehidupan rakyat berbilang bangsa dan agama masih belum dirasai di sesetengah negara yang asyik berperang.

Artikel Lain