Lukisan kulit pokok Bell cipta legasi baru - Rencana | mStar

Lukisan kulit pokok Bell cipta legasi baru

TALUN merupakan sejenis pokok liar tempatan dan kulitnya digunakan oleh masyarakat Lun Bawang di Sarawak untuk membuat kraftangan tradisional seperti topi dan perisai.

Seorang anggota masyarakat itu, Bell Su'ut, bagaimanapun menemui kegunaan baru bagi kulit pokok Talun dan secara tidak sengajakan membawa satu perspektif baru kepada seni masyarakat Lun Bawang.

Sejak 13 tahun yang lepas Bell menghasilkan lebih daripada 200 lukisan warna meliputi subjek tradisional, sezaman dan abstrak bukannya di atas kanvas tetapi kulit pokok Talun (Artocarpus hirsuta).

"Ia satu daripada cara bagi saya untuk menunjukkan penghargaan kepada masyarakat saya," kata lelaki berusia 41 tahun ini.

Lukisan Bell ditampilkan semasa pesta masyarakat Lun Bawang, Irau Aco, yang diadakan pada awal Jun di kampung halamannya, Lawas.

Semasa pesta itu, kehidupan tradisional masyarakat Lun Bawang yang digambarkan oleh Bell pada kulit pokok Talun itu dijadikan sebagai cendera hati kepada tetamu-tetamu khas untuk memperkenalkan kekayaan warisan masyarakatnya itu. Berbakat dalam seni

Pensyarah bahasa Inggeris di Institut Perguruan Sarawak ini menganggap dirinya sebagai berbakat dalam seni dari usia muda lagi. "Saya suka melukis walaupun sebelum mula bersekolah. Saya melihat di sekeliling saya untuk mendapatkan ilham dan akan cuba melukisnya," kata beliau.

Bakat beliau dalam melukis dan mewarna mendapat perhatian sejak beliau di bangku sekolah rendah lagi di Lawas.

"Saya mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan seni dan merupakan yang pertama untuk diminta oleh guru untuk membuat lukisan mural bagi sekolah," kata Bell.

"Walaupun semasa cuti sekolah, aktiviti saya dalam seni diteruskan dengan rakan dan saudara meminta saya membuat mural ataupun lukisan di kediaman mereka," tambah beliau. Sehinggakan selepas menamatkan pendidikan sekolah menengah, minatnya untuk melukis dan mewarna tidak pudar sedikit pun.

Apabila beliau menerima tawaran untuk meneruskan pengajian di Institut Perguruan Sarawak di sini, beliau menaruh harapan tinggi untuk membuat pengkhususan dalam bidang kesenian tetapi malanngnya mata pelajaran itu hanya ditawarkan sebagai subjek pilihan.

Berus dan kanvas teman setianya

Bell menamatkan latihan perguruan selepas tiga tahun dan mengajar untuk tempoh beberapa tahun sebelum kembali ke institut itu sebagai pensyarah bahasa Inggeris.

Ketika itu, apabila ada waktu lapang berus warna dan kanvas sentiasa menemaninya dan bermula dengan lakaran biasa, Bell beralih ke bentuk lukisan serta medium lain termasuk melukis pada kulit pokok Talun.

Nukilannya tertumpu kepada persekitaran semula jadi dan kehidupan masyarakat tempatan.

"Sehinggakan tempat tinggal saya sudah jadi macam bengkel seni," katanya.

Impian Bell untuk mendapatkan segulung ijazah dalam bidang kesenian akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau mendapat tawaran untuk mengikuti pengajian kesenian di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 1992.

Persatuan Lun Bawang Sarawak (SLBA) membantu beliau untuk merealisasi impiannya itu dengan menaja pengajian beliau dan pada 1995 beliau lulus dengan ijazah sarjana muda seni halus. Meneroka perspektif baru Semasa di universiti, Bell mula memperluas pandangannya dalam apa yang diminatinya dan berusaha melakukan sesuatu yang baru.

"Mana-mana pelukis mahu menunjukkan kelainan dan saya tidak terkecuali," kata beliau dan beliau menyedari yang beliau tidak perlu pergi jauh untuk mencari kelainan itu kerana warisan etnik beliau memberikannya inspirasi bagi mencipta kelainan itu.

"Melukis pada kulit pokok merupakan sebahagian daripada kebolehan artistik. Kulit pokok dalam keadaan semulajadinya boleh diubah menjadi hasil seni yang kemudian dihargai oleh masyarakat," jelas Bell.

Berdasarkan kepada penyelidikannya, lukisan pada kulit pokok diamalkan sejak dari zaman dahulu lagi seperti yang dilakukan oleh penduduk pribumi Australia dan oleh itu seni itu bukanlah idea baru.

"Ia bukan baru tetapi sentiasa ada ruang untuk pembaharuan," kata beliau merujuk kepada apa yang beliau telah lakukan.

Beliau juga telah mempelajari beberapa teknik dalam melukis dan mewarna pada kulit kayu pokok, iaitu membakar, mengoyak, menampal dan menggunakan semua jenis warna daripada warna minyak hinggalah acrylic.

"Saya juga menemui warna-warna semula jadi, seperti kuning daripada kunyit atau cecair rotan atau warna merah daripada buah pokok hutan dan saya akan terus menjalankan eksperimen dalam hal ini," katanya.

Bell juga telah mempelajari teknik mengeluarkan pigmen hitam daripada sejenis daun hutan dan idea ini datang daripada seorang anggota masyarakat Penan di Lawas.

Pelukis yang menyerlah Bapa kepada dua orang anak ini belum bersedia menerima pengiktirafan bahawa beliau telah menempuh kegemilangan d bidang seni. Beliau menekankan yang beliau hanya mencuba sejauh mana kemampuannya dalam seni.

"Bagi saya, saya hanya mahu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Sebelum ini masyarakat saya dikenali kerana topi dan perisai yang diperbuat daripada kulit pokok. Mengapa tidak saya menyumbangkan sesuatu yang berlainan berasaskan warisan yang sama," katanya.

Sebahagian daripada nukilannya dipamerkan di Perpustakaan Awam Miri sementara beberapa lagi sudah berada di tangan peminat lukisan di luar negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Youth sex and doing business

Artikel Berikut

Double standards in the West

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain