suria

Model Baharu Proton Saga Dilancar

SHAH ALAM: Generasi ketiga Proton Saga dengan reka bentuk yang lebih kemas dan bercirikan penjimatan bahan api dilancarkan pada Rabu.

Ia dijual pada harga RM36,800 (manual standard); RM39,800 (CVT Standard), RM42,800 (CVT Executive) dan RM45,800 (CVT Premium) atas jalan termasuk insurans.

Model terbaharu ini mempunyai enjin VVT (injap pemasa berjujukan) 1.3 liter serta dilengkapi dengan transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) dan kecekapan bahan api yang lebih baik sehingga 11 peratus.



Proton berkata Saga baharu ini telah direka dengan harga berpatutan, bahan api ekonomi, bergaya, luas dan praktikal.

Kecekapan bahan api adalah lebih baik dengan 5.4 liter bagi setiap 100km untuk varian transmisi manual (sebelum ini 6 liter bagi setiap 100km), dan 5.6 liter bagi setiap 100km untuk varian CVT (sebelum ini 6.3 liter bagi setiap 100km).

Sementara itu sistem brek antikunci (ABS) dan bantuan brek hanya terdapat pada varian Premium dan Eksekutif.

Bagi varian Premium, terdapat kit tambahan seperti suis audio pada stereng, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman serta reverse camera.



Paparan bagi reverse camera digabungkan dengan cermin pandangan belakang.

Semua varian Saga mempunyai penarafan keselamatan empat bintang daripada Asean NCAP (Program Penilaian Kereta Baru Negara-Negara Asia Tenggara).

Ia ditawarkan dalam enam warna iaitu Fire Red, Cotton White, Topaz Blue, Sterling Silver, Midnight Black dan Metal Grey.
Proton Saga, Proton

Artikel Lain