suria

Mohd Noh Dilantik Semula Naib Canselor UTHM

Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin
Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin
Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin

KUALA LUMPUR: Datuk Prof Dr Mohd Noh Dalimin dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada Rabu.

Ini merupakan penggal ketiga Mohd Noh menyandang jawatan berkenaan sejak pelantikan pertama pada 2008, dan dilantik semula pada 2011.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan di sini Khamis, pelantikan semula Mohd Noh adalah berdasarkan pencapaian cemerlang beliau dalam memastikan proses transformasi UTHM daripada sebuah kolej universiti (Kolej Universiti Tun Hussein Onn) kepada sebuah universiti berjalan lancar.

"Beliau juga telah mencapai sasaran yang ditetapkan kementerian dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Pelantikan semula beliau dapat meneruskan kesinambungan pelan jangka panjang pendidikan negara terutamanya di Pagoh Education Hub," kata kenyataan itu.

Mohd Noh sebelum ini pernah menjadi Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Dekan dan Timbalan Dekan di Fakulti Sains dan Teknologi dan Fakulti Sains dan Alam Semula Jadi universiti itu.

Beliau juga Pengerusi Majlis Peperiksaan Negara dan Pengerusi Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Mohd Noh memiliki ijazah dalam bidang fizik daripada Universiti Gadjah Mada, Indonesia serta sarjana (sains) dalam bidang 'Solid State Physics' daripada Bedford College, University of London dan doktor falsafah dalam bidang 'Experimental Solid State Physics' daripada Imperial College London. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain