suria

UniMAP Terima Anugerah EBA London

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima anugerah 'Best Enterprise' daripada Europe Business Assembly (EBA) sempena Sidang Kemuncak Pemimpin 2013 di London pada Khamis.

Penganugerahan itu meletakkan UniMAP sebagai institusi akademik pertama di Malaysia yang menerima anugerah itu setakat ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin turut menerima anugerah 'Pengurus Terbaik' yang juga merupakan naib canselor pertama dari universiti di Malaysia menerima anugerah berkenaan.

Menurut satu kenyataan UniMAP, majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di ibu pejabat British Institute of Director (BIOD) di London semalam yang dihadiri tokoh antarabangsa yang terdiri daripada ahli perniagaan dan ketua-ketua institusi dari 32 negara.

Kamarudin melalui kenyataan itu berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen dan kesungguhan yang diusahakan kerajaan Malaysia dalam memartabatkan bidang pengajian tinggi negara dan ia berupaya membuka mata masyarakat antarabangsa.

"Saya bersyukur kerana hasil penat lelah selama ini, diiktiraf bukan sahaja di Asia, malahan juga di Eropah dan kita akan berusaha lebih keras bagi mencapai cita-cita dalam menjadikan UniMAP antara 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020," katanya.

Pencalonan untuk menerima anugerah EBA itu dilakukan oleh anggota jawatankuasa yang dianggotai institusi pendidikan, industri dan pusat penyelidikan daripada beberapa negara termasuk Austria, Belgium, Jerman, Republic Czech dan Switzerland dan pemilihan penerima anugerah antara lain berdasarkan analisis sumber terbuka.

Bagi kategori 'Best Enterprise', kriteria pencalonan mengambil kira pembangunan UniMAP dari segi profesional dan juga aspek pengkomersialan manakala 'Pengurus Terbaik' mengambil kira pencapaian Kamarudin yang menjadi model positif kepada masyarakat dan sumbangannya dalam bidang inovasi, sains dan keusahawanan.

Antara tokoh Malaysia yang pernah menerima anugerah EBA termasuk Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. - BERNAMA

Artikel Lain