suria

UiTM Tandatangani MoU Dengan The Actors Studio

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Khamis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan The Actors Studio bagi mengeratkan lagi kerjasama yang terjalin sejak 10 tahun lepas. Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata MoU berkenaan merupakan ikatan rasmi bagi perkongsian tenaga dan kepakaran di antara kedua-dua pihak dalam bidang kreatif, seni persembahan serta industri muzik.

Beliau berkata antara bidang yang akan diberikan tumpuan ialah budaya dan disiplin seni persembahan, pendidikan dan latihan termasuk mengadakan persembahan secara usaha sama antara dua pihak.

"MoU ini merupakan yang pertama membabitkan Fakulti Muzik dengan pihak industri. Selain itu fakulti lain juga terbabit dalam MoU ini seperti Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media," katanya dalam sidang media di sini.

MoU itu ditandatangani oleh Sahol Hamid bagi pihak UiTM dan Produser Eksekutif Datuk Faridah Merican, serta Pengarah Artistik Joe Hasham, bagi pihak The Actors Studio.

Faridah berkata pihaknya juga bersedia menawarkan tempat bagi pelajar-pelajar UiTM menjalankan latihan industri serta menjalinkan usahasama seperti merancang persembahan khas antara kedua-dua pihak untuk dipentaskan dalam siri jelajah seluruh negara.

"Kami amat bertuah dan gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan UiTM dan yakin The Actors Studio mampu mengorak langkah lebih jauh melalui kerjasama ini.

"Kami juga bersedia menyediakan platform kepada pelajar UiTM mempersembahkan hasil kerja mereka untuk dipersembahkan kepada orang ramai," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain