suria

UMT Tingkat Minat Pelajar Terhadap Bidang Keusahawanan

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil pelbagai usaha untuk memberi pendedahan serta meningkatkan minat dan kefahaman di kalangan pelajar tentang kepentingan bidang keusahawanan.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UMT, Prof.Dr Yahaya Ibrahim berkata ia bagi menyahut hasrat kerajaan yang memperkenalkan Model Baru Ekonomi yang menitikberatkan pembangunan modal insan berintelektual sebagai transformasi ekonomi yang efektif.

"Dalam merealisasikan matlamat itu, UMT telah mengadakan beberapa program keusahawanan bagi mengaplikasikan ilmu perniagaan yang diperolehi di dalam kelas kepada perniagaan sebenar," katanya di sini Ahad.

Yahaya berkata, terbaru UMT menganjurkan program Menjana Usahawan Siswazah yang melibatkan seramai 993 orang pelajar terdiri daripada 200 kumpulan dengan ahli seramai lima pelajar setiap kumpulan.

Katanya apa yang manarik, program kali ini turut disertai oleh 40 usahawan daripada luar yang juga merupakan usahawan mentor kepada pelajar-pelajar yang menyertai program itu.

Beliau berkata tahun ini UMT mensasarkan seramai 1,800 pelajar yang terdiri daripada pelbagai program pengajian di UMT terlibat dalam program keusahawanan itu.

Yahaya berkata pada tahun depan, UMT berharap seramai 2,000 pelajar UMT akan dibudayakan dengan ilmu keusahawanan daripada pelbagai program yang akan dikelolakan UMT.

Yahaya berkata memandangkan peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta yang semakin hebat persaingannya, adalah wajar untuk pelajar memikirkan alternatif lain dengan menjadikan bidang kerusahawan sebagai kerjaya pilihan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain