suria

UPM Tawar PJJ Ijazah Sains Pertanian

SERDANG: Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) untuk Ijazah Sains Petanian yang diperkenalkan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) diharap dapat melahirkan tenaga mahir yang lebih berilmu dan berdaya saing dalam bidang pertanian di negara ini.

Ketua Dekan fakulti, Dr. Thohirah Abdullah memberitahu program yang ditawarkan kepada para penolong pegawai pertanian itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Program PJJ Ijazah Sains Pertanian dimulakan oleh UPM ini dilaksanakan untuk memberi peluang kepada kumpulan sasar bagi menambah ilmu dalam bidang pertanian sekaligus meningkatkan kualiti tenaga kerja dalam bidang yang sama,” katanya pada Majlis Ikrar dan Suaikenal Pelajar Baru PJJ UPM bagi semester pertama tahun 2011/2012.

Seramai 38 orang penuntut baru yang kebanyakannya terdiri daripada penolong pegawai pertanian di negara ini mengangkat ikrar sebagai pelajar UPM dan bakal mengikuti program ijazah tersebut selama empat tahun.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris, Pengarah Urusan UPM Holdings Sdn Bhd, Dr Husaini Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif UPM Education and Training Sdn Bhd (UPMET), Dr Abdul Aziz Saharee.

“UPMET mula memperkenalkan program Ijazah Sains Pertanian secara PJJ untuk menyediakan medium untuk pekerja bidang pertanian yang berkelayakan, menggenggam ijazah tanpa perlu meninggalkan kerjaya masing-masing,” kata Abdul Aziz.

Menurut salah seorang penuntut, Nor Aishah Ismail, 27, dari Pulau Pinang, dia mengambil jurusan tersebut untuk menambah pengetahuan dalam pekerjaannya iaitu sebagai Penolong Pegawai Pertanian di UPM.

“Saya percaya dengan mengikuti program ijazah ini, saya boleh meningkatkan peluang kenaikan pangkat sekaligus ia boleh menaikkan taraf hidup saya dan keluarga,” katanya.

Majlis pada petang itu juga menyaksikan hampir separuh daripada 658 orang pelajar yang mengambil program PJJ dari beberapa Ijazah (Bacelor) dan Ijazah Sarjana (Masters) yang lain seperti Ijazah Bahasa dan Linguistik, Ijazah Sains (Pembangunan Manusia), Ijazah Sains (Pembangunan Sumber Manusia), Ijazah Komunikasi, Ijazah Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua).

Bagi Ijazah Sarjana pula program PJJ UPM menawarkan Master Bahasa Melayu, Master Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan), Master Pembangunan Sumber Manusia, Master Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu Bahasa Pertama), Master Komunikasi Korporat.

Pelajar-pelajar program PJJ kesemua ijazah tersebut terdiri daripada individu daripada pelbagai latar belakang dan kebanyakannya telah mempunyai kerjaya sendiri.

Penuntut Ijazah Komunikasi, A.Mariadass, 24 sudah pun bekerjaya sebagai Eksekutif di syarikat insurans antarabangsa berkata, beliau mengikuti program ijazah itu secara PJJ di UPM kerana jadual yang direncanakan oleh institusi itu bersesuaian dengan kemahuan dan rancangannya dalam membina kerjaya.

“Saya melakukan persediaan untuk melanjutkan pelajaran secara PJJ kerana percaya bahawa pendidikan adalah sangat penting untuk masa hadapan dan pendidikan berkualiti boleh didapati walaupun dipelajari secara jarak jauh seperti PJJ,” katanya.

Artikel Lain