suria

PAUM Anjur Majlis Makan Malam Untuk Kumpul Dana

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) akan mengadakan majlis makan amal pada 3 April ini untuk mengumpul dana bagi pembangunan rumah kelab PAUM serta mengisi tabung yayasan persatuan itu.

Penaungnya Datin Seri Rosmah Mansor berkata majlis yang akan berlangsung di Hotel Shangri-La itu dijangka dihadiri 1,000 orang dan mengumpul dana sebanyak RM2 juta.

Isteri Perdana Menteri itu berkata pembangunan rumah kelab itu yang telah lama menjadi impian PAUM sebagai simbol kemegahan, kejayaan dan kegigihan alumni Universiti Malaya (UM) dan UM sendiri.

"Sudah lama PAUM berkeinginan untuk mempunyai rumah kelab dimana semua ahli-ahli alumni akan dapat pergi ke sana dan boleh bersukan, berinteraksi, beramah mesra dan bertukar fikiran," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri majlis makan malam amal PAUM itu.

Rosmah berkata beberapa menteri yang merupakan anggota alumni UM dijangka menghadiri majlis itu.

"InsyaAllah, saya rasa ramai yang akan datang dan sambutan seharusnya menggalakkan," katanya.

Rosmah berkata kos sebanyak RM11 juta diperlukan bagi pembangunan rumah kelab itu, RM2 juta untuk kelengkapan kelab itu serta RM1 juta bagi tujuan 'kerusi penyelidikan' Yayasan PAUM.

"Setakat ini, mereka telah pun dapat sebidang tanah di kawasan UM dan pihak UM juga telah bersetuju untuk mengeluarkan dana bangunan ini dan lepas itu PAUM akan bayar balik," katanya.

Tempahan atau maklumat lanjut mengenai makan malam itu boleh didapati menerusi laman web PAUM di alamat www.umalumni.my. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain