suria

UPM Terima Kemasukan 432 Pelajar Antarabangsa

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan pengambilan pelajar pasca siswazah antarabangsa seramai 432 orang untuk kemasukan semester kedua sesi pengajian 2011/12.

Jumlah tersebut meningkat 20 peratus berbanding sesi yang sama sebelum ini.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi berkata, daripada jumlah pelajar yang mendaftar, 303 orang adalah pelajar peringkat PhD dan selebihnya pelajar kursus sarjana.

Kata Dr Radin, UPM kini mempunyai 2,535 pelajar antarabangsa di semua peringkat pengajian termasuk ijazah sarjana muda.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis melafaz ikrar pelajar baru di sini.

Pada majlis itu, seramai 1,374 pelajar baru pasca siswazah bagi semester kedua 2011/12 telah melafazkan ikrar sebagai simbolik memulakan pengajian mereka.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Datin Paduka Dr Aini Ideris, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Mohd Fauzi dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Tai Shzee Yew.

Sementara itu, Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Prof Dr Bujang BK Huat pula berkata, pelajar luar negara UPM datang dari 30 buah negara antaranya Iran, Iraq, Kanada, Cameroon, Syria, Nigeria, Yemen, Palestin, Somalia, Rusia, Tanzania, Bangladesh dan Indonesia.

Katanya, daripada jumlah tersebut, Iran mencatatkan bilangan pelajar antarabangsa terbesar di UPM diikuti Iraq, Nigeria dan Indonesia.

Artikel Lain