suria

Pelajar Malaysia Di Mesir Diminta Jauhi Demonstrasi Jalanan

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Mesir dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di kawasan demonstrasi jalanan yang diadakan di beberapa bandar besar di negara itu bagi membantah pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

"Semua pelajar juga diminta mengurangkan aktiviti di luar tempat tinggal sehingga disahkan situasi kekecohan telah reda kerana dijangka berlaku lagi demonstrasi pada masa depan," kata Jabatan Penuntut Malaysia dalam surat bertajuk "Nasihat Keselamatan Berikutan Demonstrasi Jalanan" (Yawmul Ghadab) yang diedarkan kepada pelajar.

Pelajar juga diminta sentiasa peka kepada berita dan situasi semasa dengan merujuk kepada media massa atau pihak berwajib.

Jabatan itu menasihatkan pelajar melaporkan dengan segera sebarang kemalangan membabitkan warga Malaysia kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan merujuk kepada kedutaan dari masa ke masa untuk nasihat keselamatan.

Nasihat keselamatan itu dikeluarkan berikutan demonstrasi di Kaherah pada Selasa lepas, yang terbesar dalam sejarah Mesir sejak Intifadah Al-Khubz (Pemberontakan Roti) pada 1977, bertujuan menamatkan pemerintahan 30 tahun Presiden Mubarak.

Beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan di bandar-bandar besar seperti Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura. - BERNAMA

Artikel Lain