suria

14 Pelajar Undang-Undang Terima Biasiswa Tun Suffian

KUALA LUMPUR: Seramai 14 pelajar undang-undang menerima anugerah biasiswa Tun Suffian bernilai lebih RM200,000.

Pengerusi Jawatankuasa Yayasan Biasiswa Tun Suffian, Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa berkata ini merupakan kali pertama mereka memberi biasiswa kepada pelajar yang mengikuti pengajian undang-undang dalam negara.

Katanya biasiswa tersebut diberikan berdasarkan merit tanpa mengambil kira kaum atau agama penerima.

Biasiswa itu termasuk yuran buku tahunan, elaun bayaran kecil-kecilan, perbelanjaan sara hidup, yuran tuisyen untuk 11 pelajar mengikuti pengajian ijazah undang-undang (LLB), seorang mengikuti peringkat sarjana (LLM) dan dua pelajar mengikuti program Doktor Falsafah (PhD).

Tunku Sofiah berkata yayasan itu juga berhasrat menubuhkan sebuah Kerusi Tun Suffian Dalam Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Malaya.

"Kami ini menggalakkan falsafah dan harapan Allahyarham Tun Suffian di kalangan generasi baru dengan harapan mereka akan mengamalkan nilai-nilai dan mendokong aspirasi Allahyarham," katanya.

Yayasan tersebut ditubuhkan pada 11 Jun 2002 sebagai mengenang jasa dan bakti Allahyarham Tun Mohamed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara, yang meninggal dunia pada 26 September 2000 ketika berusia 82 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain