suria

UPM Di Tangga Keenam Penarafan GreenMetric World University Ranking 2010

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tempat keenam antara 95 universiti di dunia yang menyertai penarafan GreenMetric World University Ranking 2010 (Green Metric) anjuran Universitas Indonesia baru-baru ini.

UPM dalam kenyataan di sini berkata dengan kedudukan itu, universiti itu muncul satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) dari Asia yang berjaya menempatkan diri di kalangan 10 universiti terbaik dunia berdasarkan kecemerlangan dalam mempromosi kelestarian melalui usaha pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau.

"Penarafan itu mengambil kira komitmen dan usaha UPM untuk memastikan kelestarian dan kehijauan kampus serta alam sekitarnya seperti saiz dan infrastruktur keluasan kawasan hijau serta keefisienan penggunaan tenaga di kampus," kata kenyataan itu.

UPM berkata penarafan itu juga turut mengambil kira pengadaptasian teknologi hijau, penguatkuasaan polisi lestari serta pengurusan kenderaan dan pengurusan bahan buangan di kawasan kampus.

University of California, Berkeley Amerika Syarikat menduduki tempat pertama, diikuti University of Nottingham United Kingdom dan York University, Kanada di tempat ketiga.

UPM berkata antara inisiatif hijau yang dijalankan oleh universiti itu ialah program mega tahunan seperti aktiviti penanaman pokok dengan usahasama Mitsubishi Corporation dan program Recycling Rally yang diadakan untuk menggalakkan aktiviti kitar semula di kalangan warga kampus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain