suria

Pelajar UEC Berpeluang Ikuti Latihan Di Institut Latihan Guru Mulai Tahun Depan

PUTRAJAYA: Para pelajar dengan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina akan diberikan peluang mengikuti latihan di institut latihan perguruan bermula tahun depan, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Beliau berkata mereka yang berminat perlu mendapat tiga kepujian dalam UEC termasuk subjek Mandarin dan kepujian bagi subjek Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kita harap ini akan mengurangkan atau mengatasi masalah kekurangan guru bahasa Mandarin di sekolah Cina. Ini merupakan satu masalah yang telah berlarutan dan sebenarnya apabila kerajaan menerima UEC bagi memasuki institut latihan itu merupakan satu petanda baik dan pengiktirafan terhadap peranan sekolah persendirian Cina," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Dr Chua berkata akan terus berhubung dengan Kementerian Pelajaran bagi meneroka peluang yang lain bagi pelajar dari sekolah itu, untuk terbabit dalam pembangunan nasional. "Ia merupakan satu kejayaan dan kita harap akan ada lebih banyak ruang untuk rundingan bagi penerimaan yang meluas terhadap UEC dalam kerajaan," katanya.

Sementara itu, Dr Chua berkata pakatan pembangkang sudah kekeringan isu apabila mereka mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan Konvensyen Barisan Nasional semalam untuk menyerang mereka.

Beliau berkata tidak salah bagi Pengerusi BN untuk bercakap mengenai politik, selain mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan, memandangkan ia merupakan satu perhimpunan politik.

"Saya fikir mereka tidak perlu menyerang sesiapa tetapi membetulkan masalah dalaman mereka sendiri terlebih dahulu. Apa sahaja keadaan yang tidak sempurna yang mungkin ada pada kerajaan BN, sekurang-kurangnya selepas pilihan raya Mac 2008, Perdana Menteri mengetengahkan program transformasi ekonomi dan kerajaan, bagi menunjukkan bahawa kerajaan sedang berubah bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Pakatan pembangkang menjanjikan perubahan tetapi mereka tidak berubah langsung. Apa yang kita lihat anggota mereka meninggalkan parti, jadi mereka kena betulkan terlebih masalah dalaman mereka sebelum mengkritik orang lain," katanya. Semasa menyampaikan amanat dasarnya pada Konvensyen BN semalam, Najib antara lain berkata kepimpinan part-parti pembangkang adalah anti-nasional dan mereka sebenarnya berjuang mewakili kepentingan tertentu semata-mata bagi mengejar kuasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain