suria

Jururawat Perlu Selari Dengan Perkembangan Teknologi Moden - Jeanne

KUALA LUMPUR: Profesion kejururawatan perlu selari dengan kemajuan teknologi bagi memastikan ia relevan pada era ini, kata Canselor Open University Malaysia (OUM) Tun Jeanne Abdullah.

Jeanne, yang juga isteri mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata adalah amat penting bagi menggunakan konsep asas kejururawatan dengan teknologi bagi mengubah tanggapan dan cara penyampaian berhubung penjagaan kejururawatan. "Dalam dunia serba moden, teknologi perlu disepadukan dengan baik dengan kejururawatan kerana ia mewakili kombinasi yang kukuh bagi menyumbang kepada kesejahteraan dan kesihatan seseorang pesakit.

"Dengan persepaduan teknologi dan sikap penyayang bersama-sama di dalam profesion ini boleh meningkatkan khidmat yang disediakan dan memaksimumkan hasil keperluan pesakit," katanya dalam ucaptama sebelum memrasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Kejururawatan (Icon 2010) di sini, Selasa.

Persidangan dua hari bertemakan 'Teknologi dan Inovasi Dalam Kejururawatan' itu dianjurkan oleh OUM dan bertujuan menyediakan peluang kepada peserta bagi membincangkan isu berhubung amalan klinikal, pendidikan dan pengurusan dalam kejururawatan. Ia disertai 222 peserta dari 22 negara.

Jeanne juga berkata penggunaan teknologi adalah amat baik dalam bidang kejururawatan kerana ia membantu mereka menyediakan khidmat penjagaan yang berkualiti dan mengurangkan kesilapan manusia atau merancang rawatan yang disediakan. Sementara itu, beliau berkata forum itu adalah penting kepada peserta untuk berkongsi dan berbincang cara untuk melaksanakan konsep baru dalam profesion penjagaan kesihatan.

"Persidangan ini akan memfokuskan berhubung bagaimana teknologi dapat menyumbang kepada penjagaan kesihatan yang efisien, berkualiti dan selamat dan dapat meningkatkan cara jururawat membuat keputusan dan jagaan pesakit selain mengurangkan bebanan tugas.

"Melalui persidangan, para peserta dapat berkongsi pandangan dan pengalaman berhubung penggunaan teknologi bagi meningkatkan penjagaan dalam bidang kejururawatan di negara ini dan juga secara global," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain