suria

Produk Reka Cipta Dan Inovasi Perlu Dipatenkan, Kata Fadillah

KANGAR: Produk reka cipta dan inovasi yang dihasilkan oleh rakyat negara ini tidak seharusnya menjadi bahan kajian semata-mata sebaliknya perlu dipatenkan dan dikomersilkan, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof.

Beliau berkata kerajaan menawarkan pelbagai insentif bagi penghasilan reka cipta, antaranya RM500 bagi cetusan idea dan RM10,000 selepas dipatenkan.

Setiap produk itu sepatutnya dikomersilkan demi kepentingan sejagat dan perlu dipatenkan sebelum berada di pasaran, katanya kepada pemberita selepas menutup program Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan (ENVEX) 2010 di sini hari ini.

Sebanyak 150 produk reka cipta dengan 100 daripada adalah yang direka cipta oleh pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dipamerkan pada ENVEX 2010 selama dua hari anjuran UniMAP dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Fadillah berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian pelajar institusi pengajian tinggi negara ini yang mula menunjukkan kecenderungan yang besar terhadap kegiatan penyelidikan dan reka cipta.

"Kerajaan amat menggalakkan pemikiran inovatis, kritis dan kreatif di kalangan semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda," katanya.

Beliau turut mencadangkan UniMAP menjadi peneraju peringkat zon utara bagi aktiviti reka cipta dan inovasi berdasarkan pengalaman dan pencapaian institusi itu di peringkat antarabangsa dalam kegiatan reka cipta.

Katanya, sehingga kini kementerian itu telah membiayai 47 projek penyelidikan dan pembangunan bernilai RM9.18 juta oleh UniMAP melalui dana sains. - BERNAMA

Artikel Lain