suria

Hijab Tidak Halang Vivy Berfesyen

Berhijab tidak halang Vivy Yusof berfesyen. - koleksi Vivy Yusoff.
PENGALAMAN selama enam tahun menjadi seorang penulis blog nyata cukup berharga buat Vivy Yusof. Dek kerana populariti yang dimilikinya sebagai selebriti blogger menjadikan beliau cukup dikenali lebih-lebih lagi selepas mengusahakan perniagaan dalam talian, Fashion Valet sejak 2010. 

Banyak berkongsi kisah peribadi dan dunia fesyen di blognya, www.proudduck.com, wanita kacukan Melayu-Cina ini mengakui dirinya cukup bertuah apabila dikurniakan suami, Fadzarudin Anuar, yang sangat memahami. 

"Dia adalah tulang belakang kepada perniagaan ini. Idea asal penubuhan Fashion Valet itu sendiri datang daripada dia. 

"Kami tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan mahupun dunia fesyen. Hakikatnya saya mempunyai ijazah dalam bidang undang-undang, suami pula mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa," katanya kepada mStar Online di pejabatnya yang terletak di Plaza Damansara baru-baru ini. 

Menjadikan tokoh e-commerce seperti  Net-A-Porter dan Asos sebagai sumber inspirasi untuk berjaya dalam perniagaan secara dalam talian,Vivy yang juga ibu kepada Daniel Azim Shah Fadzarudin mengakui sejak mendapat anak, diari hidupnya benar-benar berubah.

"Saya sangat bertuah kerana Daniel dijaga oleh ibu bapa sendiri ketika kami sibuk di butik. Kesibukan kerja memaksa kami pulang lewat ke rumah. Kadang-kadang saya tidak percaya sudah bergelar ibu kepada bayi comel berusia 9 bulan,” ujar Vivy dalam nada teruja.

Fashion Valet banyak membantu gaya Vivy berfesyen. 

Mula Berhijab  

Menceritakan detik awal mengenai perubahan imejnya daripada tidak bertudung kepada berhijab, Vivy berkata semuanya berlaku secara spontan kira-kira empat bulan lalu.

"Pembaca blog saya kebanyakannya di kalangan Melayu dan mereka sering bertanya bila saya akan memakai hijab. Saya juga pernah terfikir kenapa mereka perlu menyibuk hal peribadi saya.


"Selepas beberapa ketika saya mula berfikir, mungkin kerana mereka sayang saya. Sebagai orang Islam memang sudah menjadi kewajipan untuk pakai tudung dan saya memang akan pakainya juga satu hari nanti," katanya. 

Pada masa sama, Vivy berkata keluarganya juga tegas dalam soal berpakaian, sejak kecil beliau dididik agar tidak memakai pakaian seksi dan ia banyak mempermudahkan urusan ketika mula berhijab.  

"Ibu saya sering desak saya supaya pakai tudung, bila nak pakai tudung. Perkara pakai tudung memang sudah ada dalam fikiran saya, kerana kawan baik saya pun pakai tudung. 

"Tiba-tiba satu hari saya dapat e-mel daripada seorang pembaca blog saya, cara beliau menasihatkan saya supaya pakai tudung sangat baik…dan beliau lebih muda daripada saya…Ya Allah, saya yakin inilah hidayah daripada Allah.  Ketika membaca e-mel tersebut di telefon bimbit, saya rasa macam nak nangis," katanya. 

Selepas itu, ibu muda ini berkata, beliau mula membeli beberapa helai tudung di Fashion Valet dan kemudiannya balik ke rumah serta cuba memakainya sendiri. 

"Saya balik rumah dan cuba pakai tudung tersebut. Selepas itu saya keluar makan malam dengan suami. Itu sahaja, saya tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Ia sangat mudah, tidak sukar seperti yang dijangkakan.

"Alhamdulillah selepas pakai tudung pengikut Instagram saya bertambah lebih 10 ribu orang dalam tempoh seminggu. Pada masa sama, saya berterima kasih kepada pengirim e-mel tersebut kerana mengubah hidup saya kerana imej ini," katanya. 

Apa yang penting, kata Vivy untuk memakai hijab kita perlu mempunyai niat dan mendapat sokongan keluarga serta komuniti di sekeliling kita.

"Jika rakan anda terdiri daripada mereka yang suka bersosial, sudah apasti anda tidak berminat memakai tudung," katanya. 

Bukan sekadar perubahan fizikal yang dialami Vivy sejak berhijab,  malahan ibu muda ini terus mengorak langkah untuk menerokai bisnes menjual tudung. Beliau bakal mengeluarkan hijab dengan jenama sendiri, dUCk Scarves

Bercerita mengenai fesyen yang gemar dipakainya, Vivy berkata beliau seorang yang sangat ringkas, namun sejak mengusahakan Fashion Valet gaya berpakaiannya turut berubah untuk menjaga imej sebagai pengusaha butik maya dalam talian. 

"Setiap wanita ada gaya berfesyen tersendiri. Imej saya sebenarnya sedikit 'rojak'. Ada hari saya pakai kasual ada hari saya lebih suka pakaian bersifat feminin. Namun saya sedia mencuba sesuatu yang baru dan saya juga akan jadi orang pertama untuk melihatnya," katanya ketika mengakhiri perbulan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain