suria

Menakjubkan! Pertama kali dalam sejarah, kota London bercahaya meriah sambut ‘Ramadan Lights’

London menganjurkan hiasan lampu menakjubkan untuk sambutan Ramadan.

SELURUH umat Islam di dunia kini mula berpuasa bermula terbit fajar sehinggalah terbenam matahari apabila terlihatnya anak bulan Ramadan, .

Dijangkakan, tahun ini kita akan berpuasa sehingga 21 April sebelum menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun pada tahun ni, sambutan bulan mulia di kota London sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

Buat pertama kalinya, Ramadan disambut dengan cahaya di tengah-tengah bandar dan juga di Piccadilly Circus.

Menurut Time Out, Ramadan Lights adalah hiasan lampu yang pertama kali dilakukan bagi meraikan bulan suci di United Kingdom dan Eropah.

Ia akan dinyalakan di Coventry Street (antara Piccadilly Circus dan Leicester Square) sehingga 21 April ini (jangkaan akhir Ramadan).

Suasana indah itu turut dikongsikan oleh @cintagaza_my di Twitter apabila memaparkan video hiasan lampu yang menerangi kota London.

Tangkap layar video menunjukkan kemeriahan sambutan Ramadan Lights.

“Bukan di Palestin, bukan di Arab Saudi tapi di London. MasyaAllah.

“Muslim yang tinggal di London selama sembilan tahun berkata, tak pernah lagi bulan Ramadan disambut meriah seperti ini di kota yang minoritinya Muslim,” tulisnya dalam ciapan tular tersebut.

Sekitar 30,000 lampu digunakan bagi membentuk 61 bulan dan untuk menjadikan ia lebih mampan, lampu LED yang digunakan lebih cekap tenaga.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan yang dilantik pada 2016 merupakan individu Muslim pertama yang memegang jawatan tersebut.

“Saya gembira London menjadi bandar utama Eropah pertama yang menganjurkan paparan cahaya menakjubkan untuk menyambut Ramadan.

‘Ramadan Lights’ adalah simbol sebenar bagaimana ibu kota (London) meraikan kepelbagaian negara ini,” katanya.

Terdahulu, lokasi tersebut biasanya dihiasi dengan lampu dan hiasan sepanjang bulan Disember bagi menyambut Krismas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain