suria

Wuhan isytihar bebas Covid-19 selepas pesakit kritikal terakhir dibenar keluar hospital

Feri dan pengangkutan awam lain mula beroperasi semula di Wuhan sejak minggu lalu. Foto: Xinhua.

BANDAR Wuhan, yang menjadi pusat awal koronavirus tidak lagi mempunyai pesakit Covid-19 di hospital setelah 12 individu terakhir dibenarkan keluar wad pada Ahad.

Pelepasan tersebut mengakhiri mimpi buruk selama empat bulan untuk bandar itu, di mana penyakit ini pertama kali dikesan pada Disember.

Jumlah pesakit yang dirawat akibat Covid-19 di sana mencapai kemuncak pada 18 Februari dengan 38,020 kes dan hampir 10,000 daripadanya berada dalam keadaan parah atau kritikal.

"Dengan usaha bersama Wuhan dan bantuan perubatan nasional yang diberikan kepada wilayah Hubei, semua kes Covid-19 di Wuhan telah diselesaikan pada 26 April," kata jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Mi Feng pada petang Ahad.

Pengumuman itu dibuat hanya sehari selepas bandar itu membenarkan pesakit terakhir yang berada dalam keadaan parah sebelum ini keluar dari hospital. Pesakit itu juga merupakan kes kritikal terakhir di wilayah Hubei.

Pesakit terakhir yang dibenarkan discaj dari Wuhan Chest Hospital itu merupakan seorang lelaki berusia 77 tahun dikenali sebagai Ding selepas dia dua kali diuji negatif untuk Sars-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, dan dibenarkan keluar pada tengah hari Ahad.

”Saya sangat merindui keluarga saya!" Ding memberitahu Changjing Daily.

Seorang pesakit lain yang tidak dikenali lega ketika meninggalkan hospital: “Udara di luar sangat segar! Cuaca sangat baik hari ini!”

Wuhan menempuh perjalanan panjang dalam usaha menjadikan tiada lagi pesakit Covid-19 di bandar itu.

Bandar yang mempunyai 11 juta penduduk itu juga merupakan pusat pengangkutan untuk bahagian tengah China, telah menjalani lockdown ketat pada 23 Januari selama 76 hari sehingga secara rasmi dibuka semula pada 8 April.

“Tiada lagi pesakit di hospital pada 26 April menandakan pencapaian besar untuk rawatan Covid-19 di bandar ini," kata Suruhanjaya Kesihatan Wuhan dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua pesakit yang dikeluarkan tidak memerlukan rawatan susulan kerana mereka mungkin masih memerlukan rawatan penjagaan lanjut.

”Menghapus semua kes yang teruk menandakan kemenangan bagi pertempuran untuk melindungi Wuhan," kata Menteri Kesihatan Ma Xiaowei kepada China Central Television pada Sabtu. -SCMP

Wuhan, Covid-19, bebas, wabak

Artikel Lain